Jumaat, 25 November 2011

Terengganu Negeriku



"kalu tuang gi pata timo,jangang lupe mari sokmo,negeri tranung memang soho,tepat molek tanoh subo"

Itulah antara bait lirik lagu "Tranung Kiter" kumpulan rock Iklim yang dinyanyikan oleh penyanyi kelahiran Terengganu iaitu Saleem. Negeri Terengganu merupakan salah sebuah negeri Pantai Timur di Semenanjung Malaysia. Negeri Terengganu dipopularkan dengan "negeri penyu" kerana suatu ketika dulu Terengganu menjadi tempat penyu-penyu bertelur.

Saya tidak bercadang untuk menceritakan sejarah negeri Terengganu di sini kerana sejarahnya panjang dan mempunyai pelbagai riwayat.Bagi sesiapa berminat untuk mengetahui sejarah Terengganu boleh mencari buku-buku sejarah di perpustakaan atau melayari di Internet. Di sini saya hanya mahu menceritakan Terengganu dari aspek pelancongan,pendidikan,sukan,kebudayaan,makanan,dan sebagainya.

Pelancongan

Terengganu sememangnya terkenal dengan tempat-tempat menarik seperti Pulau Kapas,Pulau Redang,Pulau Perhentian,Pantai Batu Burok,Sekayu, dan pelbagai lagi. Bagi sesiapa yang ingin bercuti atau melancong terutamanya mereka di luar Terengganu boleh memilih tempat-tempat pelancongan di sini.Di sini saya letak beberapa gambar tempat menarik untuk dilawati oleh para pelancong.

Pulau Perhentian



Pulau Redang


Pulau Kapas

Muzium Terengganu

Pasar Payang


Pendidikan


Terengganu telah mendahului negeri-negeri lain dalam bidang pendidikan. Keputusan UPSR baru-baru ini menunujukkan Terengganu kekal sebagai negeri terbaik UPSR 11 tahun berturut-turut. Terengganu muncul negeri terbaik UPSR,PMR dan SPM di peringkat kebangsaan.Pelbagai cara dilakukan untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan negeri. Antaranya memberikan Ebook kepada murid tahun satu hingga tahun enam sebagai alat proses pembelajaran.Selain itu,ditubuhkan sekolah elit seperti Imtiaz. Sehingga kini, Imtiaz sudah berada di daerah Dungun,Kuala Terengganu dan khabarnya sedang dibina di daerah Kemaman.Terengganu juga mempunyai dua buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai sekolah kluster iaitu bekas sekolah saya sendiri Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SHAMS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS). SHAMS menjadi sekolah kluster kerana cemerlang dari segi akademik manakala SMKSS cemerlang dalam sukan.Kedua-dua buah sekolah ini kerap kali menjadi tumpuan media kerana rekod terbaik. Baru-baru ini juga Terengganu kekal nombor satu UPSR terbaik berturut-turut. Syabas!


Pelajar Lelaki Terbaik SPM SHAMS 2010


Pelajar WanitaTerbaik SPM SHAMS 2010


Terbaik PMR 2010 SMKA Tok Jiring

Pengetua sekolah saya (SHAMS) menerima anugerah daripada YAB MB Datuk Ahmad Said

Ada lagi beberpaa buah sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang tetapi tidak dapat diakses gambarnya ke ruang ini.


Kebudayaan

Dari segi kebudayaan,Terengganu sohor dengan tarian Mayang Diulik.Bagaimanapun,tarian ini pernah diharamkan kerana ada unsur-unsur pemujaan.Tetapi tarian ini masih diteruskan oleh segelintir pihak cuma unsur tahayul dan khurafat dibuang.Selain itu,lagu-lagu rakyat juga popular selain lagu Saleem yang saya nyatakan di atas.

Kesukanan

Terengganu terbaik dari segi sukan. Ini memang tidak dapat dinafikan apabila Terengganu muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA)3 tahun berturut-turut. Tahun ini sahaja Terengganu muncul juara Piala FA dan menjadi Naib Johan Piala Malaysia. Meskipun gagal membawa pulang Piala malaysia tetapi beraksi di perlawanan akhir sudah dianggap satu kejayaan. Terengganu juga berjaya menghantar wakil untuk mewakili Malaysia dalam Sukan Sea di Indonesia yang baru sahaja selesai.

Juara Keseluruhan Sukma 2011

Terengganu juara Piala FA 2011

Keagamaan

Terengganu juga dikenali sebagai pusat penyebaran Islam di alam Nusantara suatu ketika dahulu. Penemuan Batu Bersurat bertulisan Jawi di Kuala Berang itu adalah bukti Islam mula bertapak di bumi Terengganu. Terengganu melahirkan ramai ilmuan Islam yang terkenal seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Syeikh Duyung, Tok Ku Pulau Manis, Tokku Paloh, Tuan Guru Haji Zainal Abidin dan ramai lagi. Mungkin suasana keagamaan di Terengganu tidak sehebat di Kelantan tetapi aktiviti keagamaan tetap hidup di setiap masjid atau surau di seleuruh Terengganu.

Masjid Kristal indah dipandang pada waktu malam


Masjid Terapung

Makanan Tradisional
Kalau datang ke Terengganu memang tidak sah kalau tidak merasa makanan tradisi Terengganu iaitu nasi dagang dan keropok lekor. Banyak lagi makanan tradisi Terengganu seperti satar, Lompat Tikam, Puteri Mandi, Batang Buruk dan lain-lain.Tetapi, nasi dagang dan keropok lekor adalahah makan yang paling sohor di Terengganu."meh tera makang"(jom cuba makan).

nasi dagang

Keropok lekor

satar

Kesimpulan
Mungkin saya tidak memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai negeri saya. Tetapi rasanya sudah memadai untuk memberitahu kepada rakan-rakan di negeri lain tentang apa yang terdapat di negeri saya. Mungkin selepas ini saya berpotensi untuk menjadi pemandu pelancong di negeri saya kalau ada rezeki. Saya bersyukur dilahirkan sebagai warganegeri Terengganu. Suasana bandar, kampung dan pantai yang nyaman dan damai.Rezeki yang melimpah ruah dari langit dan bumi di bumi Terengganu membuatkan saya bangga dan sayang kepada negeri saya. Walaubagaimanapun, semangat kebanggaan ini tidak patut disalahertikan sebagai mempunyai semangat kenegerian yang melampau. Saya tidak merendah-rendahkan kehebatan negeri-negeri lain. Bahkan,jika berpeluang saya juga ingin melancong ke negeri-negeri lain. Saya mendoakan agar bumi Terengganu terus diberkati, dilimpahi rezeki serta sentiasa maju dalam segala aspek. Amin.

Ya Allah,peliharalah negeriku

Ahad, 6 November 2011

Salam Aidiladha

Allahuakhbar!Allahuakhbar!Allahuakhbar!Walilalillham

Saya berhajat untuk menulis tajuk baru pada malam raya Aidiladha tetapi disebabkan saya mahu sertakan sekali dengan gambar-gambar penyembelihan korban maka saya menangguhkan tulisan terbaru saya sehingga selesai penyembelihan korban pada pagi raya selepas solat sunat Aidiladha.

Aidiladha kali ini terasa kelainan disebabkan ketiadaan ibu bapa saya yang sedang mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah. Tinggallah saya serta 4 adik beradik yang lain beraya serta menguruskan rumah.

UUM telah bercuti awal bermula daripada cuti Deepavali digabung dengan cuti Aidiladha dan cuti pertengahan semester. Hasilnya, tiada minggu ulang kaji (study week) untuk mahasiswa UUM. Memang terbaik.

Post kali ini hanya ringkas dan tiada apa yang mahu dibicarakan. Saya Cuma ingin mengucapkan Selamat menyambut Aidiladha kepada semua umat Islam yang mengenali saya. Moga kita mengambil iktibar penghayatan ibadah korban dalam kehidupan kita.

Allahuakhbar!Allahuakhbar!Allahuakhbar!Walillalilham.




Jumaat, 14 Oktober 2011

Cerita selepas Aidilfitri

Agak lama saya tidak mengemaskinikan blog selepas Hari Raya Aidilfitri. Kini kita bukan lagi berada di bulan Syawal tetapi sedang menuju untuk menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha. Mungkin kerana sibuk atau sengaja buat-buat sibuk blog saya ini seakan usang seketika. Apatahlagi saya asyik sibuk fokus kepada blog saya yang versi Bahasa Inggeris. Namun, disebalik kesibukan itu, saya cuba mencelah untuk membuat entri terbaru.

Forum 1Malaysia

Semalam saya menjadi ahli panel dalam Forum 1Malaysia Menjana Tranformasi. Sebelum itu, saya telah dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM)untuk menjadi ahli panel dalam majlis tersebut bersama dengan Encik Maliki Ibrahim, pensyarah pengurusan awam,Encik Zain Ahmad, pensyarah pengurusan pembangunan dan sahabat saya Saudara Norzaiful Zainal sebagai moderator. Pada mulanya wakil pelajar yang sepatutnya menjadi ahli panel ketiga bukanlah saya tetapi wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM. Saya menolak pada mulanya kerana saya bukanlah wakil pemimpin siswa yang layak untuk menjadi ahli panel tetapi setelah dipujuk oleh rakan-rakan, saya menerima juga. Tetapi, kebanyakan pemimpin MPP UUM tidak dapat menerima undangan forum ini kerana mereka mempunyai komitmen yang lain. Tetapi apa yang saya nampak bukan semua MPP sibuk dan sebenarnya ada seorang dua pemimpin siswa mengelak daripada menerima undangan ini. Apa sebabnya?Wallhua'llam.

saya (baju batik biru)

Perjalanan forum semalam berjalan dengan baik dan isu yang saya bawa mungkin dapat diterima oleh hadirin. Saya tidak mahu mengulas satu persatu secara terperinci intipati wacana tersebut cuma saya gembira kerana forum sebegini dapat mendatangkan manfaat kepada siswa-siswi UUM. Hadirin yang datang juga agak ramai. Tetapi saya percaya dalam kalangan mereka yang datang bukan semua datang kerana berminat dengan forum tetapi lebih kepada untuk mendapatkan sira dan sijil. Saya fikir amat berat jika ramai dalam kalangan siswa terutamanya Melayu yang datang ke majlis seperti ini hanya kerana mahukan sesuatu yang selain daripada ilmu. Nampak sangat kehadiran sebegitu tidak ikhlas.

Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada persatuan BDM, pengarah projek Sassy dan seluruh ahli jawatankuasa pelaksana forum ini. Forum ini juga menjadi medium kepada saya untuk mengemukakan hujah saya serta menambah kemahiran insaniah saya.

Haji

Sebelum menutup entri post saya ini, saya ingin memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa saya telah berangkat ke Tanah Suci Mekah. Saya mendoakan agar kedua-dua ibu bapa saya selamat menjalankan ibadah haji dengan sempurna serta memperoleh haji mabrur. Insyallah, akan datang giliran saya pula untuk menunaikan rukun haji kelima itu. Amin.

Isnin, 29 Ogos 2011

Salam Aidilfitri


Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Walillalilham.

Alhamdulillah.Syukur kepada Allah S.W.T kita semua dapat menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan sempurna. Kebanyakan umat Islam bersolat sunat terawih,bersedekah, bertadarus Al-Quran serta memperbanyakkan amal makrruf pada bulan mulia ini. Saya percaya ramai umat Islam di Malaysia tidak sabar-sabar untuk menyambut hari lebaran ini terutamanya budak-budak kecil yang bakal "menyerang" rumah terbuka untuk mendapatkan duit raya. Mereka bukan mahu makan sangat.

Kini tibalah masanya untuk meraikan hari kemenangan umat Islam iaitu merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sesuai dengan maksud Aidilfitri itu sendiri iaitu fitrah maka umat Islam menikmati fitrah manusia meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Sebelum itu, marilah kita memperbanyakkan takbir kepada Allah S.W.T kerana berjaya menyempurnakan ibadah puasa kita. Sama-sama kita pohon agar dimurahkan rezeki dan dilanjutkan usia agar kita dapat lagi menjalani ibadah ini pada tahun hadapan.

Marilah pada bulan mulia ini, kita eratkanlah hubungan silaturahim dan persaudaraan sesama kita. Elakkan pembaziran dan berhati-hatilah ketika memandu kenderaan semasa beraya.Sesungguhnya ketibaan Syawal ini lebih bermakna tatkala ketika bersama keluarga.

Saya tidak mahu bicara panjang. Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali diri saya sama ada secara langsung atau tidak langsung.Jadikanlah Aidilfitri ini bermakna untuk kita semua.

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Walillalilham.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Kerana Aku Anak Merdeka


Tanggal 31 Ogos bertandang lagi
Mengingatkan kita kepada pejuang bangsa
menitiskan darah ke bumi
kerana menuntut kemerdekaan

Aku bersyukur ke hadrat Tuhan
Negaraku bebas dan aman
Rakyat dapat mengais rezeki
Siang dan malam bersilih ganti

Tapi negaraku aman
hanyalah seketika
Negara diporak-perandakan
Oleh mereka yang bernafsu besar
kita terhimpit
kita tersempit

Dahulunya kita merdeka
Dari cengkaman penjajah luar
Tapi kini kita dijajah oleh bangsa sendiri
Tatkala kita inginkan hak kita diberi
Kita ditekan agar tidak menentang
Kita ditindas atas nama keamanan
Jika ditentang penguasa zalim
Kita dianggap petualang

Ayuhlah temanku
Ayuhlah bangsaku
Kita bangsa pasca merdeka
Ayuh kita tuntut kemerdekaan kedua
Yang zalim mesti ditentang
Yang adil mesti ditegakkan

Aku bangkit bukan kerana nama
Tapi kerana aku anak merdeka



SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54

Ahad, 26 Jun 2011

KKM 2011: Gerakan Tajdid Bermula


Cuti dalam masa 3 bulan ini saya manfaatkan dengan menyertai Kem Khalifah Muda 2011(KKM 2011) pada 23-25 Jun 2011 anjuran Alumni Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun (SMASID) kerjasama dengan pihak pentadbiran SMASID. Saya diminta oleh Presiden Alumni SMASID Saudara Hafizul Faris Che Razlan untuk menjadi fasilitator sebagai kem tersebut. Pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima tawaran menjadi fasilitator memandangkan sebelum tarikh kem itu saya masih di hospital menjaga ayah saya di wad.Tetapi Alhamdulillah ayah saya sudah sihat dan saya boleh menyertai program tersebut.


Sebelum itu, lebih baik saya menceritakan latar belakang program tersebut. Para peserta program ini adalah semua pelajar tingkatan empat sama ada tinggal di asrama mahupun di luar. Antara fasilitator dan ahli pelaksana program ini terdiri daripada senior dan junior saya. Malah ada dalam kalangan mereka pun saya tidak kenal. Matlamat program ini adalah untuk melahirkan khalifah atau pemimpin yang berkualiti kepada agama, bangsa dan negara. Tujuan program ini nampak mulia apatahlagi tingkatan empat tahun ini dikhabarkan paling banyak bermasalah. Saya pun malas mahu menyatakan masalah-masalah itu. Sebenarnya program sebegini sering diadakan setiap tahun oleh bekas pelajar-pelajar SMASID. Cuma tiap-tiap tahun nama program sahaja yang bertukar tetapi modus operandi lebih kurang sama. Salah satu sebab saya mengambil peluang menjadi fasilitator kem ini adalah bertujuan ingin melakukan tajdid (pembaharuan)dalam pemikiran generasi muda selain memberi kefahaman sebenar tentang maksud pemimpin dan kepimpinan di dalam dunia realiti sebenar.

Saya fokus kepada ahli-ahli Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang saya jaga. Saya cuba menerangkan kepada mereka mengenai tujuan kem ini diadakan. Selain itu, saya memberi penerangan mengenai politik Islam dan politik bukan Islam. Saya mengatakan mahu tidak mahu apabila disebut pemimpin dan kepimpinan, kita tetap kena sebut perkataan “politik”. Sebelum saya bicara panjang mengenai politik, saya minta para ahli LDK saya supaya tidak skeptikal dengan maksud politik. Politik tidak sekadar berkaitan dengan parti politik, pilihanraya,parlimen dan sebagainya. Tetapi maksud politik ini luas. Politik adalah satu bentuk sistem kemasyarakatan. Politik sentiasa ada di mana-mana. Politik adalah berkaitan masyarakat dan organisasi. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat sudah tentunya kita ada politik tersendiri. Contoh, politik sekolah,politik kampus, politik rumah tangga,politik kampung dan banyak lagi. Saya juga mengalakkan para ahli LDK saya supaya “khatam” membaca Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Saya bukan mahu mereka memuliakan perlembagaan tetapi saya mahu mereka arif mengenai struktur politik dan undang-undang negara. Walaupun nanti mereka semua bukan bakal peguam atau ahli politik tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak akan mudah diperbodohkan oleh sesetengah pihak. Walaubagaimanapun, saya tidak sempat berbicara panjang kerana terdapat slot lain yang begitu panjang dan padat. Ini juga masalah yang berlaku di dalam modus operandi yang dipakai. Saya mencadangkan supaya program akan datang lebih memberi banyak masa dan ruang kepada fasilitator bersama para ahli LDK mereka.
Selain memberi penjelasan mengenai politik dan kepimpinan, saya juga minta mereka mendalami lagi ilmu agama. Ilmu agama bukan sekadar membaca kitab hadis dan Al-quran semata-mata. Mereka juga perlu mencari jawapan kepada permasalahan-permasalahan agama yang berlaku dalam negara. Saya tidak mahu generasi mendatang menggunakan hujah agama yang tidak kena pada konteks suasana. Respon yang saya dapat daripada ahli LDK saya adalah positif. Mereka berminat dengan apa yang saya bicarakan. Manhaj yang saya gunakan tidaklah terlalu tegas dan tidaklah terlalu berlembut.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat kem ini berjalan dengan baik walaupun memang terdapat beberapa kelemahan. Antara kelemahannya ialah perjalanan slot aktiviti itu agak lembap dan berterabur, masa yang diambil lebih daripada tempoh sepatutnya,makanan dan lain-lain lagi. Saya harap pihak yang terlibat berlapang dada menerima teguran saya ini. Saya juga bukanlah sempurna dalam semua urusan apatahlagi ini adalah kali pertama bergelar sebagai fasilitator.

Saya gembira dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan saya dahulu sepanjang kem ini. Selain Hafizul Faris, saya dapat bertemu dengan Daing, Al-Azmi,Muizzuddin(Jotun),Syafiq Rodzi (Kumin), Syakib, Hafizi, Syafiq Firdaus (Daud) dan Fadhlan. Ada juga junior yang masih ingat saya seperti Shaid,Syafiq Awang, Yusoff,Saiful dan Rahman. Golongan muslimat Alumni SMASID kali ini saya lihat ada dalam kalangan mereka sudah ke depan. Mereka agak terbuka dan liberal. Namun, pada masa yang sama ada sesetengah muslimat masih berada dalam kepompong konservatif. Isu wanita sekolah saya akan saya bahas pada masa akan datang. Perkara yang agak menarik perhatian saya sepanjang kem ini adalah di mana majoriti fasilitator dan ahli pelaksana KKM 2011 bertutur dalam bahasa KL bukan bahasa Terengganu. Malah, saya sendiri turut terpalit bertutur dalam bahasa KL. Ada seorang muslimat bertutur rojak bahasa Melayu KL campur Inggeris. Sekali dengar seperti menyampah tetapi lama-lama seronok juga. Saya tidak boleh halang uslub berbahasa sesiapa. Itu hak masing-masing.Sebenarnya saya cuba berbicara dalam bahasa Melayu baku supaya nanti senang untuk saya berhadapan dengan orang ramai jika saya berucap di mana-mana majlis rasmi. Mungkin sebab pengaruh ketika belajar di negeri orang.

Walaubagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada pengarah projek KKM 2011 saudara Dhuha Mokhtar kerana memberi kepercayaan kepada saya sebagai fasilitator. Saya rasa ini adalah peluang saya untuk memberi sumbangan dan bakti kepada sekolah saya dahulu. Walaupun tempoh saya di SMASID lebih banyak kenangan pahit berbanding kenangan manis tetapi saya perlu bersyukur kerana SMASIDlah yang melahirkan saya sebagai pelajar yang terdidik dengan pendidikan Islam.

Saya doakan agar SMASID terus gemilang. Di sini saya letakkan gambar sepanjang penglibatan saya dalam KKM 2011.

Berbincang sebelum mula program


unit pendaftaran membuka kaunter

ajk dan fasilitator memperkenalkan diri



para peserta muslimat KKM 2011

para peserta muslimin KKM 2011



memerhatikan gerak kerja ahli LDK saya


bersama pensyarah UITM Dungun Tuan Haji Fadhil

membawa ahli LDK untuk aktiviti Night Walk






Bergambar kenang-kenangan

Saya tidak upaya meletakkan semua gambar. Kepada rakan-rakan ALumni SMASID yang mahu semua gambar ini boleh emailkan saya.

Khamis, 19 Mei 2011

POLIGAMI : NILAI DARI SUDUT POSITIF

Muka depan akhbar tentang perkahwinan terbaru Salih Yaacob

Baru-baru ini tersiar di dalam dada-dada akhbar mengenai perkahwinan selebriti Salih Yaacob, 50 tahun dengan bakal isteri ke-4 beliau yang dikenali sebagai Emi, 24 tahun. Setakat ini, Salih sudah mempunyai 3 orang isteri. Berita mengenai perkahwinan mereka menjadi mauduk utama bagi akhbar-akhbar tabloid negara. Dijangkakan perkahwinan mereka bakal berlangsung selepas Aidilfitri. Secara peribadi, saya mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada bapa saudara Johan Raja Lawak ini kerana akan mendirikan rumah tangga dengan isteri terbarunya.

Isu yang ingin saya bawa di sini bukanlah mengenai gosip atau cerita-cerita di belakang tabir mengenai Salih Yaacob dan pasangannya. Biarlah wartawan hiburan sahaja yang sibuk dengan benda-benda seperti itu. Isu yang saya ingin bicara adalah soal poligami. Sememangnya poligami adalah mauduk sensitif bagi golongan Hawa. Tetapi dalam kes Salih Yaacob saya merasa takjub dengan kerelaan ketiga-tiga isterinya yang membenarkan Salih Yaacob mencukupkan kuota isterinya. Namun, tidak ramai wanita yang sanggup bermadu dan dimadukan. Saya sendiri pernah bertanyakan kepada segelintir kaum wanita tentang pendapat mereka mengenai poligami. Majoriti daripada mereka tidak setuju (sebenarnya lebih tepat tidak rela) dimadukan oleh suami. Bagi mereka, adalah sesuatu yang sukar diterima untuk hidup berkongsi teman hidup dengan orang lain. Mereka menganggap perbuatan si suami yang bernikah lebih daripada satu sebagai saat kehancuran kehidupan berumah tangga. Mereka seringkali menyalahkan sebagai pihak ketiga yang menghacurkan kehidupan sesebuah pasangan.


Salih Yaacob dan Emi ketika diwawancara oleh wartawan

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir suami menyalahgunakan keistimewaan poligami ini. Sesetengah daripada mereka berpoligami kerana nafsu tetapi bersandar kononnya mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W padahal poligami yang ingin diamalkan tidak pula menepati sepenuhnya hukum syarak. Tidak semua golongan Adam mampu berpoligami. Mereka yang lemah dari sudut kewangan dan kudrat tetapi bernafsu besar untuk berkahwin lebih. Hukum berpoligami ini pun ada pelbagai. Saya tidak mahu berbicara panjang mengenai hukum poligami kerana dibimbangi tersalah tafsir. Biar pakar agama sahaja yang menyentuh soal hukum dan dalil poligami. Tetapi, setakat mana yang saya belajar, poligami itu mestilah disertakan dengan kebertanggungjawaban yang tinggi serta keadilan yang saksama. Inilah yang perlu dibayar balik oleh para suami apabila mereka mahu berpoligami.

Cuma apa yang saya tekankan di sini ialah kepada lelaki mahupun wanita bahawa melihat poligami itu sebagai ibadah. Ibadah ini juga diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Ibadah yang ikhlas kerana Allah S.W.T akan mendapat ganjaran pahala. Begitu juga dengan isteri yang redha dan memberi kerelaan suami berpoligami. Si isteri juga akan memperolehi pahala dan rahmat daripada Allah S.W.T. Dulu sering kita dengar bahawa isteri yang membenarkan suaminya kahwin lagi akan mendapat payung emas di syurga nanti. Terdapat pendapat mengatakan itu hadis. Walaubagaimanapun saya tidak mengetahui berkaitan dengan kesahihan perkara itu. Mungkin saya akan cuba mencari kesahihan mengenainya pada masa akan datang.

Permasalahan yang lain saya lihat bahawa kebanyakan wanita masih bersikap pesimis dan negatif tentang poligami. Sudah tiba masanya wanita Islam melakukan anjakan paradigma. Jika suami betul-betul layak dari pelbagai aspek maka permudahkanlah proses poligami itu. Saya khuatir isu ini akan diekploitasikan oleh gerakan feminis liberal yang mendakwa poligami ini sebagai mendiskriminasikan golongan wanita. Di sinilah betapa pentinganya pendidikan syariah. Poligami bukan sahaja perlu dilihat dari sudut fikah semata-mata tetapi dari sudut kemanusiaan.Contoh-contohnya seperti membantu mengembangkan zuriat, mengelakkan zina, membantu janda-janda yang kematian suami dan menolong wanita-wanita yang payah mencari pasangan hidup.


Saya percaya ada sesetengah pihak terutamanya golongan wanita akan berang dan tidak setuju dengan apa yang saya bicara di sini. Saya menyokong poligami bukan kerana saya seorang lelaki atau bukanlah kerana saya memang mahu berpoligami. Saya cuma menyokong jika poligami itu mendapat berkat dan rahmat di sisi Allah. Saya tidak akan menyokong jika poligami itu menampakkan ketidakadilan terhadap para isteri. Lagipun, saya percaya bukan semua lelaki yang bergelar suami betul-betul berkemampuan menguruskan para isteri dan anak-anak mereka dengan adil. Perkara utama yang saya tekankan adalah soal keadilan dan keupayaan suami sebagai ketua keluarga. Wanita Islam pada hari ini perlu lebih berjiwa besar dan berlapang dada dalam menghadapi situasi seperti ini. Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu berkongsi dengan apa yang kita ada di dunia ini. Kita bukanlah pemilik mutlak.Saya percaya perkongsian dapat mewujudkan kebahagiaan dan kasih sayang.

Bak kata pepatah Inggeris “sharing is caring”.

Khamis, 21 April 2011

MENGAPA BLOG INI BERBEDA?


Penggunaan teknologi kian canggih saban hari. Sejak Internet diperkenalkan rakyat Malaysia makin memanfaatkan penggunaan Internet serta kemudahan teknologi lain dalam kehidupan mereka. Salah satu manfaat Internet adalah blog. Selain blog terdapat lamansesawang sosial yang semakin popular sekarang seperti Facebook, Twitter, My Space, Friendster dan sebagainya. Namun di ruangan kali ini saya mahu fokus tentang blog terlebih dahulu. Mengenai lamanseswang sosial saya akan bicara pada masa akan datang.

Blog bolehlah dianggap buku diari atau buku nota bagi seseorang kerana blog dijadikan tempat meluahkan apa yang terbuku di hati mahupun yang terbungkam di minda. Mereka yang mempunyai blog digelar sebagai blogger. Ramai dalam kalangan rakan saya sudah mempunyai blog termasuk saya. Saya menjadikan blog sebagai tempat untuk meluahkan pandangan dan memberi kritikan terhadap beberapa isu semasa atau berkongsi mana-mana ilmu yang saya tahu. Saya cuba memberikan pandangan saya sebagai seorangrakyat Malaysia dalam isu-isu seperti ekonomi, sosial, politik, perundangan dan agama. Saya fikir sebagai seorang rakyat dan mahasiswa saya perlu mempunyai pengalaman serta pengetahuan akademik yang secukupnya dalam merentasi pelbagai jenis displin ilmu. Melalui cara begitu barulah darjat kemuliaan insan dapat ditingkatkan. Di dalam usaha saya untuk menjadi seorang ahli akademik yang berjaya maka saya perlu berusaha dari sekarang untuk mengolah dan memberikan suatu sudut pandangan mengenai apa jua isu terutamanya isu politik domestik dan antarabangsa yang merupakan skop pengajian saya di universiti. Melalui blog ini jugalah saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada semua. Melalui pendekatan seperti ini, barulah pahala dan rahmat bertaburan sesama umat Islam. Saya memerlukan kalam dan minda dalam usaha menjadi seorang ilmuan di samping menghasilkan karya-karya ilmu saya. Sebab itulah blog ini diberi nama Kalam Minda Muiz.


Tetapi terdapat dalam kalangan sahabat bertanya kepada saya mengapa blog saya ini bersifat “poyo dan skima.” Saya faham mengapa mereka bertanya demikian. Mereka melabelkan blog saya sebagai poyo dan skima sebab blog saya berbeda dengan mereka. Saya melihat blog kawan-kawan bercerita mengenai wayang, artis, kenduri kendara, hal-hal perempuan dan laki-laki, fesyen,cintan-cintan dan sebagainya. Tidak mungkin saya dapat menyenaraikan semua genre cerita dalam blog rakan-rakan blogger saya di ruangan ini. Dalam erti kata lebih mudah, kebanyakan rakan blogger saya menceritakan perkara-perkara santai di blog mereka dan blog saya tidak seperti mereka. Mungkin disebabkan itulah blog saya dikatakan poyo. Satu lagi, rakan-rakan blogger saya menggunakan bahasa Melayu rojak di dalam blog. Istilah seperti exam,konpem,siyes,dude,gurls, aku,ko,phm,mam,knape,bile,outing dan banyak lagi pengunaan bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur baur digunakan secara meluas dalam blog sedangkan di dalam blog ini saya menggunakan Bahasa Melayu baku supaya tidak berlaku pencemaran bahasa dan kelihatan sesuatu isu atau perkara yang saya bangkitkan dilihat serius. Tambahan pula penggunaan Bahasa Melayu yang betul dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada pembaca. Lagipun, penggunaan bahasa Melayu rojak dan pasar seolah-olah menunjukkan tahap emosional dan rasional blogger. Mungkin disebabkan itu juga blog saya dikatakan skima. Walaubagaimanapun, saya tidak mengatakan salah jika mereka berbuat demikian. Malah saya seronok membaca blog mereka. Jika kepala saya berserabut dan stress, saya boleh membuka blog rakan-rakan yang mempunyai seribu satu kisah. Saya mengalakkan blogger lain terus berkarya.


Cuma yang malangnya apabila ada sebahagian daripada kita menjadikan media baru ini sebagai tempat melakukan fitnah dan serangan peribadi. Jika berlaku konfratasi dengan mana-mana pihak maka dengan segeranya melakukan kerja mungkar itu di dalam blog. Pantang berlaku perselisihan faham terus menghambur kata-kata kesat dalam blog dan lamansesawang sosial. Saya cukup kesal apabila teknologi telah mula disalahgunakan. Saya salah seorang yang menyokong kebebasan bersuara tetapi saya tidak menyokong kebebasan yang cenderung kepada fitnah dan maki hamun. Pada saya, tidak salah untuk meluahkan perasaan di blog tetapi haruslah dalam keadaan terkawal. Perbuatan menceritakan peribadi buruk seseorang di dalam blog sekalipun benar boleh dikategorikan sebagai mengumpat. Mengumpat itu berdosa dan mereka yang membacanya dikhuatiri turut terpalit dengan amalan yang tidak berpahala itu. Terdapat sesetengah blog yang saya layari adalah blog penyokong seumur hidup (die hard fan) parti politik yang menghambur dan mencaci parti lawan dengan begitu pedas dan tajam sekali. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Saya berharap rakan blogger yang membaca post saya kali ini mengambil berat dalam soal ini.

Pada masa akan datang diramalkan akan muncul lebih ramai blogger baru. Semoga blog dapat dijadikan alat teknologi yang memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia. Blogger perlulah matang dalam memanfaatkan teknologi yang serba canggih kini. Selamat memanfaatkan teknologi.