Ahad, 26 Jun 2011

KKM 2011: Gerakan Tajdid Bermula


Cuti dalam masa 3 bulan ini saya manfaatkan dengan menyertai Kem Khalifah Muda 2011(KKM 2011) pada 23-25 Jun 2011 anjuran Alumni Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun (SMASID) kerjasama dengan pihak pentadbiran SMASID. Saya diminta oleh Presiden Alumni SMASID Saudara Hafizul Faris Che Razlan untuk menjadi fasilitator sebagai kem tersebut. Pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima tawaran menjadi fasilitator memandangkan sebelum tarikh kem itu saya masih di hospital menjaga ayah saya di wad.Tetapi Alhamdulillah ayah saya sudah sihat dan saya boleh menyertai program tersebut.


Sebelum itu, lebih baik saya menceritakan latar belakang program tersebut. Para peserta program ini adalah semua pelajar tingkatan empat sama ada tinggal di asrama mahupun di luar. Antara fasilitator dan ahli pelaksana program ini terdiri daripada senior dan junior saya. Malah ada dalam kalangan mereka pun saya tidak kenal. Matlamat program ini adalah untuk melahirkan khalifah atau pemimpin yang berkualiti kepada agama, bangsa dan negara. Tujuan program ini nampak mulia apatahlagi tingkatan empat tahun ini dikhabarkan paling banyak bermasalah. Saya pun malas mahu menyatakan masalah-masalah itu. Sebenarnya program sebegini sering diadakan setiap tahun oleh bekas pelajar-pelajar SMASID. Cuma tiap-tiap tahun nama program sahaja yang bertukar tetapi modus operandi lebih kurang sama. Salah satu sebab saya mengambil peluang menjadi fasilitator kem ini adalah bertujuan ingin melakukan tajdid (pembaharuan)dalam pemikiran generasi muda selain memberi kefahaman sebenar tentang maksud pemimpin dan kepimpinan di dalam dunia realiti sebenar.

Saya fokus kepada ahli-ahli Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang saya jaga. Saya cuba menerangkan kepada mereka mengenai tujuan kem ini diadakan. Selain itu, saya memberi penerangan mengenai politik Islam dan politik bukan Islam. Saya mengatakan mahu tidak mahu apabila disebut pemimpin dan kepimpinan, kita tetap kena sebut perkataan “politik”. Sebelum saya bicara panjang mengenai politik, saya minta para ahli LDK saya supaya tidak skeptikal dengan maksud politik. Politik tidak sekadar berkaitan dengan parti politik, pilihanraya,parlimen dan sebagainya. Tetapi maksud politik ini luas. Politik adalah satu bentuk sistem kemasyarakatan. Politik sentiasa ada di mana-mana. Politik adalah berkaitan masyarakat dan organisasi. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat sudah tentunya kita ada politik tersendiri. Contoh, politik sekolah,politik kampus, politik rumah tangga,politik kampung dan banyak lagi. Saya juga mengalakkan para ahli LDK saya supaya “khatam” membaca Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Saya bukan mahu mereka memuliakan perlembagaan tetapi saya mahu mereka arif mengenai struktur politik dan undang-undang negara. Walaupun nanti mereka semua bukan bakal peguam atau ahli politik tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak akan mudah diperbodohkan oleh sesetengah pihak. Walaubagaimanapun, saya tidak sempat berbicara panjang kerana terdapat slot lain yang begitu panjang dan padat. Ini juga masalah yang berlaku di dalam modus operandi yang dipakai. Saya mencadangkan supaya program akan datang lebih memberi banyak masa dan ruang kepada fasilitator bersama para ahli LDK mereka.
Selain memberi penjelasan mengenai politik dan kepimpinan, saya juga minta mereka mendalami lagi ilmu agama. Ilmu agama bukan sekadar membaca kitab hadis dan Al-quran semata-mata. Mereka juga perlu mencari jawapan kepada permasalahan-permasalahan agama yang berlaku dalam negara. Saya tidak mahu generasi mendatang menggunakan hujah agama yang tidak kena pada konteks suasana. Respon yang saya dapat daripada ahli LDK saya adalah positif. Mereka berminat dengan apa yang saya bicarakan. Manhaj yang saya gunakan tidaklah terlalu tegas dan tidaklah terlalu berlembut.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat kem ini berjalan dengan baik walaupun memang terdapat beberapa kelemahan. Antara kelemahannya ialah perjalanan slot aktiviti itu agak lembap dan berterabur, masa yang diambil lebih daripada tempoh sepatutnya,makanan dan lain-lain lagi. Saya harap pihak yang terlibat berlapang dada menerima teguran saya ini. Saya juga bukanlah sempurna dalam semua urusan apatahlagi ini adalah kali pertama bergelar sebagai fasilitator.

Saya gembira dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan saya dahulu sepanjang kem ini. Selain Hafizul Faris, saya dapat bertemu dengan Daing, Al-Azmi,Muizzuddin(Jotun),Syafiq Rodzi (Kumin), Syakib, Hafizi, Syafiq Firdaus (Daud) dan Fadhlan. Ada juga junior yang masih ingat saya seperti Shaid,Syafiq Awang, Yusoff,Saiful dan Rahman. Golongan muslimat Alumni SMASID kali ini saya lihat ada dalam kalangan mereka sudah ke depan. Mereka agak terbuka dan liberal. Namun, pada masa yang sama ada sesetengah muslimat masih berada dalam kepompong konservatif. Isu wanita sekolah saya akan saya bahas pada masa akan datang. Perkara yang agak menarik perhatian saya sepanjang kem ini adalah di mana majoriti fasilitator dan ahli pelaksana KKM 2011 bertutur dalam bahasa KL bukan bahasa Terengganu. Malah, saya sendiri turut terpalit bertutur dalam bahasa KL. Ada seorang muslimat bertutur rojak bahasa Melayu KL campur Inggeris. Sekali dengar seperti menyampah tetapi lama-lama seronok juga. Saya tidak boleh halang uslub berbahasa sesiapa. Itu hak masing-masing.Sebenarnya saya cuba berbicara dalam bahasa Melayu baku supaya nanti senang untuk saya berhadapan dengan orang ramai jika saya berucap di mana-mana majlis rasmi. Mungkin sebab pengaruh ketika belajar di negeri orang.

Walaubagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada pengarah projek KKM 2011 saudara Dhuha Mokhtar kerana memberi kepercayaan kepada saya sebagai fasilitator. Saya rasa ini adalah peluang saya untuk memberi sumbangan dan bakti kepada sekolah saya dahulu. Walaupun tempoh saya di SMASID lebih banyak kenangan pahit berbanding kenangan manis tetapi saya perlu bersyukur kerana SMASIDlah yang melahirkan saya sebagai pelajar yang terdidik dengan pendidikan Islam.

Saya doakan agar SMASID terus gemilang. Di sini saya letakkan gambar sepanjang penglibatan saya dalam KKM 2011.

Berbincang sebelum mula program


unit pendaftaran membuka kaunter

ajk dan fasilitator memperkenalkan diri



para peserta muslimat KKM 2011

para peserta muslimin KKM 2011



memerhatikan gerak kerja ahli LDK saya


bersama pensyarah UITM Dungun Tuan Haji Fadhil

membawa ahli LDK untuk aktiviti Night Walk






Bergambar kenang-kenangan

Saya tidak upaya meletakkan semua gambar. Kepada rakan-rakan ALumni SMASID yang mahu semua gambar ini boleh emailkan saya.