Ahad, 12 Disember 2010

Berakhirnya Semester 3

Semalam selesailah sudah peperiksaan akhir semester.  Semester tiga ini adalah semseter panjang. Jika diikutkan di atas kertas, para siswa sepatutnya sudah lama bercuti sama seperti universiti-universiti lain tetapi disebabkan berlakunya banjir yang agak dashyat di bumi Jelapang Padi ini, maka peperiksaan akhir semester di UUM terpaksa ditangguhkan.Ternyata semester ini mempunyai banyak perjalanan dan perkara yang tidak dapat dilupakan. Salah satunya adalah pemergian seorang sahabat saya ke rahmatullah.

Semester ini saya berdepan dengan tugasan akademik yang agak mencabar. Peperiksaan akhir semester ini pun agak sukar ditelah. Saya tertanya-tanya bagaimana keputusan peperiksaan saya pada semester depan?harap-harap lebih baik daripada semester satu dan dua. Saya tidaklah mahu membicarakan satu persatu perjalanan peperiksaan saya. Cukuplah sekadar menceritakan secara sepintas lalu. Saya berharap usaha dan keupayaan saya  akan bertambah pada semester hadapan.

Saya juga berharap pada semester depan saya dapat berada dalam tugasan kumpulan (group assignment) yang berbilang kaum. Saya beranggapan jika berada dalam kumpulan tugasan yang sama tidak membawa apa-apa perubahan apatahlagi jika disamping berada dalam bangsa yang sama. Jika sesuatu tugasan kumpulan itu terdiri daripada pelbagai kaum, nescaya dapat diwujudkan perpaduan kaum. Saya juga akan cuba mendapat tunjuk ajar daripada senior dan rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang dalam jurusan INTAFF ini seperti Ali Redha Norman, Intan Rafhanah dan Nadia. Mereka adalah penerima anugerah dekan (DL) sebelum ini. Sebelum ini saya juga mempunyai seorang senior yang bolehlah dilabel sebagai genius. Dia juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

Malam ini saya akan bertolak ke pulang ke kampung halaman. Saya telah pun pulang ketika cuti Hari Raya Aidiladha tempoh hari.  Saya akan kembali ke UUM atau lebih tepat lagi ke Bukit Kachi mungkin sebelum 15 haribulan Januari 2011. Ada pendapat yang mengatakan kuliah semester depan bermula 18 haribulan.Tetapi biarkan sahaja desas-desus itu. Sekembalinya saya di rumah, saya akan cuba membaca lebih banyak buku yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial yang bersangkut paut dengan kursus pengajian saya. Subjek -subjek semester depan akan lebih "huru-hara" berbanding semester ini. Saya cuba meluangkan masa lapang saya di perpustakaan Dungun sambil membaca komik kegemaran saya iaitu Detektif Conan. 

Kepada kawan-kawan UUM, selamat jalan. Semoga dapat bertemu lagi pada semester hadapan.Insyaallah. Kepada kawan-kawan di kampung selamat bertemu kembali. Di bawah saya meletakan gambar yang diambil ketika kertas ujian yang terakhir peperiksaan akhir semester saya.Sayonara.

Jumaat, 10 Disember 2010

Salam Takziah : Perginya Seorang Sahabat

Hari Jumaat 10 haribulan 12 2010 seorang sahabat saya telah kembali ke rahmatullah. Dia adalah kawan satu pengajian saya di UUM. Namanya adalah Hafizan Osman. Arwah dikatakan menghidap penyakit hati bernanah. Saya sempat menatap wajahnya buat kali terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star.Sebenarnya dari hari Khamis lagi saya berniat untuk pergi melawatnya setelah diberitahu dia dimasukan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Antara teman-teman lain yang turut sama melawat arwah buat kali terakhir adalah Wan Syarifuddin, Faizal Ikhir Johari, Amer Izzuddin, Khalifa Omar, Akhmar, Maswari, Nabila Huda, Shahrul Ezwan, Roslan, Haffet serta Affendy.Antara pihak lain yang hadir adalah Penolong Pendaftar Encik Budiman, Dekan Colgis, Professor Madya Dr Ahmad Martadha, felo-felo serta seorang wakil MPP. Pada ketika itu jugasaya dihujani dengan panggilan telefon dan SMS apabila saya menyebarkan pemergian arwah. Terdapat juga seorang dua pensyarah yang menghubungi saya apabila mendapat berita tersebut.Di dalam lamanweb sosial seperti Facebook juga telah digunakan untuk memberitahu perkhabaran pemergian arwah Hafizan.

Saya bukanlah seorang individu yang rapat dengan arwah tetapi saya mengenali dia seorang yang periang dan peramah. Dia boleh bergaul dengan semua orang. Ketika saya melihat arwah di bilik jenazah saya terkedu dan sebak. Terkenang pula saat saya dengan dia bersama kawan-kawan yang lain.

Saya berdoa agar Allah S.W.T mengampuni dosa-dosanya serta menempatkan dia dikalangan orang-orang yang beriman. Saya juga berharap keluarga arwah bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T ini. Kepada kawan-kawan dan pengikut-pengikut blog saya ini, marilah sama-sama kita sedekahkan doa arwah Hafizan. Al Fatihah.