Ahad, 30 Oktober 2011

Penyu Menangis Siapa yang tahu


Semalam telah berlangsung perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Negeri Sembilan menentang pasukan Terengganu. Keputusan semalam menyaksikan kemenangan berpihak kepada skuad Hoben Jang Hoben menang 2-1.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Negeri Sembilan kerana berjaya muncul juara Piala Malaysia musim 2011. Sebagai anak jati negeri Darul Iman, saya turut sedih dan kecewa dengan kekalahan pasukan Terengganu semalam. Saya percaya ramai penyokong Terengganu semalam hampa.Harap tiada yang bunuh diri pula. Namun begitu,saya harus menerima dengan hati terbuka. Apabila membaca komen-komen di laman sesawang Facebook terdapat segelintir penyokong skuad Peteh Ganu Peteh menyalahkan kesilapan dan kecuaian penjaga gol Terengganu Mohd Sarbinee Alwi. Bagi saya, sesiapa pun tidak terlepas daripada kesilapan. Mereka yang mengkritik penjaga gol Terengganu itu belum tentu dapat bermain sebaik Sarbinee. Saya harap tidak ramai yang menyalahkan dia. Dia telah melakukan yang terbaik. Kita perlu bersikap profesional dan rasional meskipun dalam arena sukan. Kalah menang adat bertanding. Bukan rezeki Penyu untuk membawa pulang Piala Malaysia semalam. tetapi saya agak tertarik dengan persembahan pemain-pemain Terengganu semalam terutamanya kapten pasukan Marzuki Yusof. Pemain pertahanan ini kental menjaga gawang dan pandai shoot.

Walaubagaimanapun, kepada penyokong pasukan Terengganu dan rakyat Terengganu itu sendiri, kita perlu melihat hikmah yang berlaku disebalik kekalahan semalam. Pada tahun ini sahaja, Terengganu telah muncul sebagai juara Sukan Malaysia (SUKMA) dan juga juara Piala FA menewaskan Kelantan.Kekalahan Piala Malaysia sedikit terubat kerana kita sudah juara dalam temasya sukan yang lain.

Walau apa pun terjadi, sebagai peminat bola sepak amnya dan penyokong skuad Penyu seumur hidup khususnya, saya akan terus menyokong pembangunan bola sepak negara dan negeri. saya berdoa dan berharap agar pasukan Terengganu akan membawa pulang Piala Malaysia pada musim akan datang. Guane Gamok??

PETEH GANU PETEH!!!!

Khamis, 20 Oktober 2011

KPI untuk MPP UUM


Sebenarnya saya agak teragak-agak untuk menulis mengenai politik kampus di univerisiti saya sekarang. Saya sudah mula bosan dengan politik kampus UUM. Bukan masalah dengan calon sangat tetapi masalah dengan persekitaran dan suasana UUM yang kaku ditambah lagi dengan sikap aktor-aktor politik kampus yang masih menebal sifat tradisional dan konservatifnya..Tetapi ada beberapa desakan daripada beberapa teman agar saya mengulas mengenai tahap prestasi kepimpinan MPP UUM sesi 2011/2012. Apatahlagi, sebagai bekas jentera kempen pilihanraya, saya juga rasa terpanggil untuk membuat penilaian ke atas mereka. Penilaian ini mungkin sesuai dipanggil Key Performance Indicator (KPI). KPI adalah istilah yang digunapakai oleh kerajaan Malaysia sekarang.

Saya mungkin tidak akan mengulas secara spesifik atau menyentuh secara terperinci mana-mana pemimpin siswa UUM tetapi saya memilih untuk mengulas secara umum. Bimbang juga jika saya menyebut nama-mana-mana pemimpin MPP, saya akan dikatakan melakukan serangan peribadi berniat jahat. Anggap sahajalah saya cuba memberi gred markah kepada MPP UUM 2011/2012.

Manifesto kempen

Sebelum pilihanraya kampus lepas, terdapat sesetengah calon MPP berjanji untuk menyelesaikan masalah pelekat kenderaan (sticker), masalah untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU), dan masalah bas. Terdapat juga calon MPP yang berjanji untuk menyelesaikan masalah bayaran yang dikenakan untuk menyimpan beg di stor tepi Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Tetapi selepas memenangi pilihanraya kampus, semuanya seakan senyap seketika. Pada pemerhatian saya, belum nampak penyelesaian secara progresif dalam isu-isu tersebut. Walaubagaimanapun, saya tidak mengharapkan apa-apa penyelesaian drastik dalam isu-isu berbangkit seperti ini kerana saya juga memahami batas gerak kerja MPP selain daripada karenah pentadbiran yang mencerewetkan.

Isu Peribadi

Pernah saya terbaca status seorang pemimpin siswi di lamansesawang Facebook pada semester lepas yang mengatakan bahawa beliau menyesal kerana masuk bertanding pilihanraya. Sudah menang baru menyesal? Agak mengejutkan ayat sebegitu diluahkan oleh orang yang bakal memikul tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa dan mahasiswi. Sepatutnya sebelum masuk bertanding, fikirlah semasak-masaknya dahulu. Kalau perlu boleh solat istikarah. Kini bila sudah menang pilihanraya kampus boleh mengeluh pula. Selain itu, ada juga maklumat yang sampai di telinga saya mengenai hal ehwal peribadi sesetengah pemimpin siswa di universiti saya. Saya pun tidak mahu menyatakan apakah salahlaku peribadi pemimpin MPP tersebut di sini. Namun, saya mengambil pendirian sama ada benar atau tidak maklumat itu, saya tidak akan sama sekali mengaibkan mana-mana individu tetapi sebagai pemimpin, tutur kata dan akhlak perlu dijaga. Walaupun seseorang pemimpin MPP itu dari dulu lagi jenis cakap tidak bertapis atau jenis “terlepas cakap”, namun, tatkala sudah menjadi pemimpin siswa, setiap perilaku dan pemakaian itu harus dijaga supaya orang lain tidak nampak keburukan. Apabila orang lain sudah nampak keburukan itu maka cepat-cepatlah menjadi bualan hodoh orang ramai. Memang nampak seperti hipokrit tetapi itulah realiti politik. Semuanya plastik.

Ada banyak lagi elemen yang mahu saya sentuh tetapi cukuplah sekadar dua sahaja.

Saranan kepada MPP dan bakal MPP

Saranan saya yang pertama, pilihanraya kampus akan datang, jangan ambil mana-mana calon tangkap muat. Sekalipun ada sesetengah siswa mempunyai hubungan darah pentadbiran univeristi tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka masuk bertanding . Padahnya akan berlaku apabila ada pemimpin siswa tersebut tidak tahu apa itu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta akta-akta yang berkaitan. Lagi elok jika mereka mempunyai pengetahuan asas berkaitan sains politik , politik kampus dan politik Malaysia.

Saranan kedua, pemimpin MPP tidak boleh terlalu menjadi eksklusif sebaliknya perlu menjadi inklusif atau keterangkuman. Pemimpin siswa perlu dilihat berhubung dengan kebanyakan siswa, bertanyakan khabar mereka serta cuba mendalami masalah yang mereka hadapi. Saya nampak ada pemimpin MPP yang bersifat elitis. Saya juga hairan macam mana mereka boleh menang sedangkan saya tengok mereka tidaklah banyak bergaul dengan kebanyakan orang sebelum bertanding pilihanraya kampus. Saya juga rasa hairan sistem e-Voting boleh memenangkan mereka.

Saranan ketiga, MPP perlu menjadi pelopor kepada kebebasan siswa. Kebebasan saya maksudkan di sini tidak semestinya kebebasan menyertai parti politik. Kebebasan itu saya sudah bicara pada post yang sudah lepas. Kebebasan yang saya maksudkan di sini ialah kebebasan bersuara, berhimpun serta kebebasan memberi pendapat. Saya tahu ada seorang dua pemimpin MPP UUM yang lantang bersuara tetapi jika hanya dua suara itu masih minoriti. MPP UUM perlu sepakat dalam soal ini.

Kredit untuk MPP

Walaubagaimanapun, saya perlu mengakui ada juga tindakan-tindakan positif yang dilakukan oleh pimpinan MPP UUM. Antaranya, menyelesaikan masalah gugur dan tambah subjek , isu penipuan linguaphone,kesepakatan ke arah pemansuhan E-Voting,isu pembayaran denda siswa terhadap pemakaian kad matrik, dan komitmen ke arah penubuhan parlimen siswa (dengar kata sekarang dipanggil Majlis Perundingan Kepimpinan Siswa (MPKS). Oleh itu, saya harus memberi kredit kepada usaha-usaha pimpinan MPP ini.

Tugas sebagai seorang pemimpin bukanlah mudah. Ramai orang mudah mengkritik dan membangkang berbanding melaksanakan sesuatu tugasan. Saya percaya pimpinan MPP UUM telah cuba sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada mahasiswa. Apa yang saya nyatakan di sini hanyalah niat untuk menegur supaya MPP UUM tidak alpa dan memeriksa apa yang tidak kena. Bahkan di dalam Islam sendiri menyuruh kita saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Jika pimpinan MPP UUM dapat menerima bicara saya ini dengan berlapang dada dan berjiwa besar, Insyaallah, Allah akan menjadikan mereka orang yang lebih hebat pada masa akan datang.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Cerita selepas Aidilfitri

Agak lama saya tidak mengemaskinikan blog selepas Hari Raya Aidilfitri. Kini kita bukan lagi berada di bulan Syawal tetapi sedang menuju untuk menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha. Mungkin kerana sibuk atau sengaja buat-buat sibuk blog saya ini seakan usang seketika. Apatahlagi saya asyik sibuk fokus kepada blog saya yang versi Bahasa Inggeris. Namun, disebalik kesibukan itu, saya cuba mencelah untuk membuat entri terbaru.

Forum 1Malaysia

Semalam saya menjadi ahli panel dalam Forum 1Malaysia Menjana Tranformasi. Sebelum itu, saya telah dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM)untuk menjadi ahli panel dalam majlis tersebut bersama dengan Encik Maliki Ibrahim, pensyarah pengurusan awam,Encik Zain Ahmad, pensyarah pengurusan pembangunan dan sahabat saya Saudara Norzaiful Zainal sebagai moderator. Pada mulanya wakil pelajar yang sepatutnya menjadi ahli panel ketiga bukanlah saya tetapi wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM. Saya menolak pada mulanya kerana saya bukanlah wakil pemimpin siswa yang layak untuk menjadi ahli panel tetapi setelah dipujuk oleh rakan-rakan, saya menerima juga. Tetapi, kebanyakan pemimpin MPP UUM tidak dapat menerima undangan forum ini kerana mereka mempunyai komitmen yang lain. Tetapi apa yang saya nampak bukan semua MPP sibuk dan sebenarnya ada seorang dua pemimpin siswa mengelak daripada menerima undangan ini. Apa sebabnya?Wallhua'llam.

saya (baju batik biru)

Perjalanan forum semalam berjalan dengan baik dan isu yang saya bawa mungkin dapat diterima oleh hadirin. Saya tidak mahu mengulas satu persatu secara terperinci intipati wacana tersebut cuma saya gembira kerana forum sebegini dapat mendatangkan manfaat kepada siswa-siswi UUM. Hadirin yang datang juga agak ramai. Tetapi saya percaya dalam kalangan mereka yang datang bukan semua datang kerana berminat dengan forum tetapi lebih kepada untuk mendapatkan sira dan sijil. Saya fikir amat berat jika ramai dalam kalangan siswa terutamanya Melayu yang datang ke majlis seperti ini hanya kerana mahukan sesuatu yang selain daripada ilmu. Nampak sangat kehadiran sebegitu tidak ikhlas.

Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada persatuan BDM, pengarah projek Sassy dan seluruh ahli jawatankuasa pelaksana forum ini. Forum ini juga menjadi medium kepada saya untuk mengemukakan hujah saya serta menambah kemahiran insaniah saya.

Haji

Sebelum menutup entri post saya ini, saya ingin memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa saya telah berangkat ke Tanah Suci Mekah. Saya mendoakan agar kedua-dua ibu bapa saya selamat menjalankan ibadah haji dengan sempurna serta memperoleh haji mabrur. Insyallah, akan datang giliran saya pula untuk menunaikan rukun haji kelima itu. Amin.