Jumaat, 11 Februari 2011

Mengapa Saya Sokong Dr Asri?


"Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini." (Riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis Nabi S.A.W ini pertama kali diucapkan oleh bekas mufti Perlis Professor Madya Dr Asri Zainul Abidin ketika beliau menghadiri Wacana Pemikiran Islam : Ke Mana Hala Tuju Islam? di Universiti Utara Malaysia. Hadis di atas diterangkan oleh Dr Asri bahawa setiap 100 tahun akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T satu golongan manusia yang akan melakukan tajdid(pembaharuan) agama Islam.

Saya beranggapan Dr Asri tergolong dalam golongan yang ingin melakukan tajdid ke atas umat Islam khususnya di Malaysia. Bahkan blog beliau juga dinamakan istilah tersebut iaitu Minda Tajdid. Saya mula mengenali Dr Asri ketika beliau menulis di kolum Mingguan Malaysia dan pernah muncul di Televisyen beberapa kali sebelum dilantik menjadi mufti Perlis. Usia yang masih muda dilantik menjadi mufti menunjukkan beliau seorang ilmuan Islam yang progresif dan dinamik. Mungkin disebabkan itu, ada sesetengah pihak menggelarkannya sebagai Qardawi Malaysia.Sebagai seseorang yang dikenali dalam masyarakat, beliau juga tidak lekang daripada kontroversi. Nama Asri tetiba melonjak tatkala beliau ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan mengajar kuliah agama tanpa tauliah. Sebelum itu, nama Dr Asri dicadangkan oleh kerajaan untuk menduduki jawatan Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) tetapi ditentang keras oleh sebahagian NGO Islam kononnya bekas Mufti Perlis ini seorang Wahabbi dan bukan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Saya cukup kesal tindakan segelintir umat Islam kononnya mengaku Islam dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tetapi mengecam orang lain dengan tuduhan takfir, dholah dan murtad dengan begitu mudah. Lebih malang lagi tuduhan yang sebegitu jijik datangnya daripada mereka yang dikategorikan sebagai ulama dan penuntut pengajian Islam di Malaysia. Islam membenarkan khilaf tetapi tidaklah sampai tahap mengkafirkan dan mencaci orang. Alhamdulillah Dr Asri berjaya menghadapi fitnah dan mehnah dengan tenang dan sabar.

Ternyata gaya penulisan dan pandangan beliau itu amat wajar dan sesuatu yang lain daripada ulama dan mufti yang lain. Saya dapat melihat apabila beliau berjaya merungkai permasalahan Islam serta sikap kejumudan sesetengah umat Islam di Malaysia. Apabila saya membaca pandangan dan kritikan Dr Asri dalam isu-isu agama di dalam majalah atau suratkhabar, saya mendapati Asri berjaya menyedarkan saya dalam beberapa persoalan agama yang selama ini saya musykil dan tersilap. Antaranya dalam isu bidaah, tahlil, talqin,doa qunut dan sebagainya. Saya melihat karismanya terus meningkat apabila berani berdepan dengan penulis kontroversi Al-Islam Astora Jabat pada suatu ketika dahulu. Saya mengkagumi beliau tidaklah sampai tahap taksub. Bahkan ada beberapa pandangannya saya tidak setuju seperti pandangan Asri yang meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara dari dunia politik Malaysia. Saya lebih suka melihat Asri merungkaikan persoalan agama daripada turut terjebak dalam hal ehwal politik kepartian. Apabila timbul desas-desus bahawa Asri bersama ulama yang lain akan menyertai UMNO saya agak terkejut. Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga kawan baik Dr Asri begitu yakin Asri akan menyertai UMNO. Saya tidak setuju beliau menyertai sama ada UMNO atau PAS atau mana-mana parti sekalipun kerana apabila sudah masuk politik kenyataan dan pandangannya akan berpihak. Apakah mantan Mufti Perlis ini sedia untuk melumurkan dirinya dengan politik yang penuh dengan muslihat kekotoran?. Nasib baiklah sehingga sekarang Asri masih bertindak bijak dengan menjauhkan diri daripada kepartian politik.

saya sempat bergambar dengan Dr Asri ketika beliau datang ke UUM


Saya berharap Dr Asri akan terus berada di landasan kebenaran dan kejujuran intelektual atas nama Islam. Saya berdoa beliau dipanjangkan umur dan sihat tubuh badan agar usahanya untuk melakukan tajdid ke atas umat Islam tercapai. Diharapkan juga Dr Asri akan meneruskan memberi pandangan dan kritikan yang bermanfaat demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia khususnya.Salam tajdid.

Selasa, 8 Februari 2011

Bakti Siswa Chini 3

 
Tanggal 3-7 Febuari 2011 merupakan tempoh saya bersama rakan-rakan dari UUM amnya dan Dewan Penginapan Pelajar Bank Rakyat khasnya mengadakan program Bakti Siswa Limpahan Budi Ikatan Ukhwah di Chini 3. Peserta yang terlibat dengan program bakti siswa ini terdiri daripada senior dan junior. Antara sahabat saya yang menyertai program anak angkat ini termasuklah pengarah projek bakti siswa ini iaitu Ku Amirul Faiz, Faizal Che Saad, Amirul Asyraf, Amer Izuddin, Saidatul Akhmar, Khalifa Omar, Suandy, Mukhri, Arni, Nadia, Zahidah, Azira serta rakan-rakan lain yang saya sudah lupa nama mereka. Program ini mendapat kerjasama penuh daripada FELDA serta masyarakat peneroka setempat.


Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada pengarah projek Ku Amirul Faiz kerana berjaya mengadakan program anak angkat ini. Sudah menjadi adat kehidupan bahawa sesuatu perkara yang kita rancang mesti terdapat juga kecacatan dan kelemahan. Begitu juga dengan program ini. Namun bukanlah niat saya untuk mencari kelemahan tersebut. Saya percaya dan yakin sahabat saya yang menjadi pengarah projek serta ahli jawatankuasa pelaksana bakti siswa ini telah mencuba sedaya upaya demi memastikan kelancaran program ini.  


Saya tidak mahu bicara panjang. Saya mahu tunjukkan beberapa keping gambar yang saya telah ambil ketika di program bakti siswa di Chini, Pahang Darul Makmur.


         dua gambar di atas di ambil ketika mesyuarat terkahir sebelum berlepas ke Chini

                                       bergambar sebaik sahaja tiba di Chini

                                        pergi jalan-jalan bila dah sampai

                                   bersama pengarah projek baksis Ku Amirul Faiz


                                            antara barisan kepimpinan warga Felda Chini


                                                menari tarian poco-poco

                                        antara peserta-peserta baksis

                             program baksis dirasmikan oleh Adun Chini Dato' Abu Bakar 

                                           gotong-royong mengecat pagar

peserta baksis membuat pemeriksaan kesihatan. berbaju merah di atas adalah Azlan. senior sem 6

                            bergambar ketika belayar di dalam bot di Tasik Chini

                                       bergambar di perkampungan Orang Asli

                      bergambar dengan keluarga angkat sebelum berangkat pulang

Kepada kawan-kawan saya yang menyertai program baksis ini ingin mendapatkan semua gambar yang saya ambil bolehlah datang berjumpa dengan saya. Saya tidak berkemampuan untuk meletakkan semua gambar di dalam blog atau Facebook. Saya tidak akan melupakan kenangan saya dalam program bakti siswa ini.