Rabu, 30 Disember 2009

Melayu Mesti Berubah





Setelah khatam membaca buku tulisan Dato’ Zaid Ibrahim yang berjudul “Saya pun Melayu” dapatlah difahami bahawa beliau cuba untuk mengeluarkan orang Melayu dari pemikiran lama,kaedah lama serta sikap lama. Beliau mahu membawa orang Melayu ke arah pemikiran baru,kaedah baru dan sikap baru. Mungkin kerana itulah beliau dikecam hebat oleh pemimpin-pemimpin UMNO sehingga beliau dipecat oleh UMNO. Penerbitan buku ini juga memdedahkan kisah UMNO di sebalik tabir oleh bekas Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu ini dan menunujukkan kepada umum kepincangan UMNO terhadap orang Melayu Malaysia.


Jarang ada pemimpin Melayu UMNO yang berani mempertikaikan ketirisan Dasar Ekonomi Baru(DEB),mengkritik penyalahgunaan istilah “Ketuanan Melayu” seperti Dato’ Zaid Ibrahim selain daripada Yang Mulia Tengku Razaleigh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Zaid Ibrahim mula mencipta sejarah tersendiri apabila sanggup meletak jawatan dalam UMNO dan jawatan dalam kerajaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan dan kehakiman semata-mata bertentangan pendirian beliau berhubung penggunaan ISA kepada Ahli Parlimen Seputeh.Teresa Kok,seorang wartawan Cina dan seorang blogger iaitu Raja Petra Kamaruddin. Beliau mengatakan bahawa penangkapan ketiga-tiga individu ini bertentangan dengan prinsip keadilan dan membantutkan usaha beliau untuk melakukan reformasi undang-undang dan institusi badan kehakiman negara.


Keberanian Zaid disegani baik kawan mahupun lawan. Kesediaan dan kesedaran beliau yang melihat kepincangan yang berlaku terhadap UMNO serta orang melayu. Apabila orang Melayu sendiri yang mengkritik DEB dan konsep ketuanan Melayu dengan cepat orang itu dituduh pengkhianat dan pelbagai tohmahan.Zaid Ibrahim berjaya membuktikan dirinya bukan dalam kalangan kerangka Melayu tradisional.


Kritikan Zaid Terhadap DEB

DEB asal yang dilaksanakan sejak 1971 telah mencapai banyak kejayaan.Dasar ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak bersama Timbalannya Tun Dr Ismail serta orang kanan mereka Tun Ghazali Shafie bersama beberapa ahli-ahli fikir UMNO. DEB diwujudkan untuk menyususn kembali masyarakat dan membasmi kemiskinan. Tetapi mereka juga sedar bahawa dasar ini boleh disalahgunakan dan akan menimbulkan keresahan rakyat kerana dasar ini memberi keutamaan kepada satu kaum iaitu Bumiputera. Hal ini menyebabkan “diskriminasi” yang tidak wajar kepada rakyat Malaysia.Menurut Zaid DEB memang telah berjaya dilaksanakan dan nitulah sebabnya peratus kemiskinan rakyat dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus pada tahun 2002. Sebagaimana mengikut persetujuan semua kaum,DEB dilupuskan pada tahun 1990 dan berakhirnya program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat dalam tempoh 20 tahun. Tetapi kerajaan pusat merasakan masih perlu diteruskan usaha-usaha sedemikian lalu diperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DPN dilancarkan pada tahun 1991 bagi tempoh 10 tahun. Di sini Zaid mempersoalkan mengapa kerajaan BN di bawah pimpinan Dr Mahathir pada masa itu tidak meneruskan DEB?.Setelah hampir 20 tahun DEB dilupuskan,pemimpin UMNO masih lagi menggunakan perkataan DEB dalam perbualan atau penulisan mereka.Bagi Zaid,hakikatnya,DPN ini adalah Dasar Ekonomi UMNO yang mengutamakan diskriminasi dan pilih kasih dalam pembahagian kekayaan negara kepada rakyat. Bijaknya pemimpin-pemimpin UMNO Baru berselindung dan bergantung kepada semangat DEB sebenar(1970-1990)untuk mempertahankan Dasar Ekonomi UMNO yang mereka cipta. Itulah sebab mereka sentiasa memberi amaran kepada sesiapa jua agar tidak mempersoalkan DEB atau hak kepentingan orang Melayu. Kebanyakaan mereka merasakan bahawa rakyat kurang faham dan tidak boleh membedakan dasar yang cuba memberi peluang seluasnya kepada semua rakyat dengan dasar yang hanya memberi peluang kepada kumpulan kecil dalam UMNO. Dasar ekonomi yang ada hanya menguntungkan segelintir orang Melayu yang rapat dengan parti Pemerintah dengan UMNO.



Kritikan Zaid Terhadap Konsep Ketuanan Melayu

Tahun-tahun di antara 1986 dan 1988 adalah masa politik tanah air huru-hara yang hampir mencetuskan pergaduhan kaum sekali lagi selepas tragedi 13 Mei1969. Perang mulut antara UMNO dan MCA dalam soal-soal hak kaum menjadi topik utama. Ketika itu ISA digunakan untuk menahan ramai pemimpin-pemimpin politik pembangkang walaupun yang berkelahi adalah juak-juak BN. Pada ketika itulah Dr Mahathir menunjukkan belangnya. Selepas itu,timbul konsep Ketuanan Melayu yang selama ini tidak pernah didengar,hatta pada zaman perjuangan merdeka lebih 50 tahun dahulu.


Seorang pemimpin UMNO Kelantan Abdullah Ahmad telah mengutarakan hujah bahawa keutamaan dan keistimewaan adalah hak orang Melayu kerana merekalah dikatakan orang asal Tanah Melayu. Malangnya hari ini masih ramai yang menyangka Ketuanan Melayu adalah suatu peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau setidak-tidaknya muncul sewaktu perjuangan kemerdekaan dahulu. Ramai yang tidak sedar bahawa istilah ini adalah ciptaan Abullah Ahmad yang dibawakannya sewaktu berucap di sebuah forum di Singapura pada tahun 1986. Harus dingat bahawa Ketuanan Melayu tidak ada kena-mengena dengan Perkara 153 Perlembagaab Persekutuan. Memang ada keistimewaan Bumiputera Yang dijelaskan secara tererinci dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tetapi ianya bukan ‘hak’ (rights) tetapi adalah ‘keistimewaan’ (privileges).


Saya berharap Zaid dapat meneruskan perjuangannya walaupun sudah bertukar parti. Zaid telah menunjukkan beliau adalah seorang intelektual Melayu yang berfikiran terbuka dan sedia keluar dari lingkaran pemikiran yang lama. Beliau juga menjadi orang yang bertanggungjawab mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu parti. Saya percaya rakyat akan mengenang jasa beliau sebagai pemimpin Melayu yang berkebolehan.