Selasa, 24 Julai 2012

Tenanglah kau di sana


Memang benar apa yang selalu diungkapkan orang. jodoh, rezeki dan ajal itu di tangan Tuhan. Kita tidak akan menyangka bila kita akan mendapat sesuatu sama ada berupa rezeki mahupun bala. Ajal juga ketentuan Allah. Tiada siapa yang mampu menghalangnya. Khabar SMS dukacita yang aku terima daripada seorang rakan sepengajianku Mohammad Affendy bahawa seorang rakan spengajian aku Mohd Hafeet bin Saad atau nama FBnya Ditective Conan telah pergi mengadap Tuhan buat selama-lamanya.Lebih menyayatkan hati, kematian beliau disebabkan kemalangan yang dialaminya selepas pulang daripada pengebumian ibunya. Rakanku tidak putus-putus menghantar SMS kepadaku meberitahu bahawa setelah Hafeet dibawa ke hospital, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal. Tetapi Allah lebih sayangkan beliau lebih daripada kami yang menjadi kawan-kawannya.

Secara peribadi, saya tidaklah begitu rapat dengan beliau. Tetapi disebabkan kami adalah rakan sejurusan pengajian, kami menjadi rapat. Arwah Hafeet pernah membantu saya dalam program Seminar Interaksi UUM-UNIKOM pada semester tiga tahun 2010 ketika saya menjawat jawatan Presiden Persatuan Sains Politik UUM. Beliau menjadi ahli jawtankuasa pelaksana yang membantu program tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada arwah Hafeet.

Arwah Hafeet (baju merah sebelah saya)ketika program Seminar Interaksi UUM-UNIKOM

Pada semester pertama, beliau juga pernah menyertai kumpulan nasyid yang membuat persembahan sempena meraikan anak-nak yatim Kedah di Dewan Bukit Kachi. Boleh dikatakan arwah seorang yang sangat aktif. Beliau menjadi Ketua Kelab Fasilitator UUM, pernah memegang jawatan dalan INTAFF Society (lupa jawatan apa), Kelab Rakan Muda UUM serta aktiviti-aktiviti di peringkat Dewan Penginapan Pelajar (DPP). Saya percaya arwah aktif dalam aktiviti lain tetapi saya tidak mengetahuinya.

Beliau juga merupakan RA (Resident Assistant) di Blok C iaitu blok saya. Beliau memang seorang yang aktif. Walaupun beliau aktif berpersatuan, beliau tetap cemerlang dalam akademik. Kalau tidak silap saya, sudah tiga kali arwah berjaya mendapat anugerah dekan. Saya sendiri pun tidak menyangka dengan kehebatan arwah. Salah satu sifat yang jelas mengenai arwah ialah "kehebatan" bercakap dengan orang yang disertai dengan loghat utara pekat sehinggakan saya menmanggil beliau "Hafeet Huru-Hara". Cara beliau bercakap kadang kala menimbulkan rasa lawak dan lucu.

Saya bersama arwah Hafeet ketika Majlis Berbuka Puasa di Dewan Bukit Kachi tahun 2009

Seingat saya, arwah pernah datang ke bilik saya di Blok C untuk lepak. Beliau pernah minta saya agar saya berjaya membentuk bentuk badan yang sasa bersama six pack ketika hari konvokesyen nanti. Malangnya, permintaan itu saya boleh tunaikan tetapi beliau sudah tidak dapat melihatnya lagi. Apabila arwah telah pergi meninggalkan dunia ini, barulah saya terasa kehilangan seorang lagi rakan di UUM selepas arwah Hafizan. Selepas ini, sudah tiada lagi kedengaran suara "kecoh" arwah di Blok C.

Arwah Hafeet(baju putih)bersama kawan-kawan ketika melawat jenazah arwah Hafyzan buat kali terakhir

Saya berdoa sempena Ramadhan yang mulia ini, arwah Hafeet ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beliau dicucuri rahmat. Amin.

Hafeet, tenanglah kau di sana.

Tiada ulasan: