Khamis, 21 April 2011

MENGAPA BLOG INI BERBEDA?


Penggunaan teknologi kian canggih saban hari. Sejak Internet diperkenalkan rakyat Malaysia makin memanfaatkan penggunaan Internet serta kemudahan teknologi lain dalam kehidupan mereka. Salah satu manfaat Internet adalah blog. Selain blog terdapat lamansesawang sosial yang semakin popular sekarang seperti Facebook, Twitter, My Space, Friendster dan sebagainya. Namun di ruangan kali ini saya mahu fokus tentang blog terlebih dahulu. Mengenai lamanseswang sosial saya akan bicara pada masa akan datang.

Blog bolehlah dianggap buku diari atau buku nota bagi seseorang kerana blog dijadikan tempat meluahkan apa yang terbuku di hati mahupun yang terbungkam di minda. Mereka yang mempunyai blog digelar sebagai blogger. Ramai dalam kalangan rakan saya sudah mempunyai blog termasuk saya. Saya menjadikan blog sebagai tempat untuk meluahkan pandangan dan memberi kritikan terhadap beberapa isu semasa atau berkongsi mana-mana ilmu yang saya tahu. Saya cuba memberikan pandangan saya sebagai seorangrakyat Malaysia dalam isu-isu seperti ekonomi, sosial, politik, perundangan dan agama. Saya fikir sebagai seorang rakyat dan mahasiswa saya perlu mempunyai pengalaman serta pengetahuan akademik yang secukupnya dalam merentasi pelbagai jenis displin ilmu. Melalui cara begitu barulah darjat kemuliaan insan dapat ditingkatkan. Di dalam usaha saya untuk menjadi seorang ahli akademik yang berjaya maka saya perlu berusaha dari sekarang untuk mengolah dan memberikan suatu sudut pandangan mengenai apa jua isu terutamanya isu politik domestik dan antarabangsa yang merupakan skop pengajian saya di universiti. Melalui blog ini jugalah saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada semua. Melalui pendekatan seperti ini, barulah pahala dan rahmat bertaburan sesama umat Islam. Saya memerlukan kalam dan minda dalam usaha menjadi seorang ilmuan di samping menghasilkan karya-karya ilmu saya. Sebab itulah blog ini diberi nama Kalam Minda Muiz.


Tetapi terdapat dalam kalangan sahabat bertanya kepada saya mengapa blog saya ini bersifat “poyo dan skima.” Saya faham mengapa mereka bertanya demikian. Mereka melabelkan blog saya sebagai poyo dan skima sebab blog saya berbeda dengan mereka. Saya melihat blog kawan-kawan bercerita mengenai wayang, artis, kenduri kendara, hal-hal perempuan dan laki-laki, fesyen,cintan-cintan dan sebagainya. Tidak mungkin saya dapat menyenaraikan semua genre cerita dalam blog rakan-rakan blogger saya di ruangan ini. Dalam erti kata lebih mudah, kebanyakan rakan blogger saya menceritakan perkara-perkara santai di blog mereka dan blog saya tidak seperti mereka. Mungkin disebabkan itulah blog saya dikatakan poyo. Satu lagi, rakan-rakan blogger saya menggunakan bahasa Melayu rojak di dalam blog. Istilah seperti exam,konpem,siyes,dude,gurls, aku,ko,phm,mam,knape,bile,outing dan banyak lagi pengunaan bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur baur digunakan secara meluas dalam blog sedangkan di dalam blog ini saya menggunakan Bahasa Melayu baku supaya tidak berlaku pencemaran bahasa dan kelihatan sesuatu isu atau perkara yang saya bangkitkan dilihat serius. Tambahan pula penggunaan Bahasa Melayu yang betul dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada pembaca. Lagipun, penggunaan bahasa Melayu rojak dan pasar seolah-olah menunjukkan tahap emosional dan rasional blogger. Mungkin disebabkan itu juga blog saya dikatakan skima. Walaubagaimanapun, saya tidak mengatakan salah jika mereka berbuat demikian. Malah saya seronok membaca blog mereka. Jika kepala saya berserabut dan stress, saya boleh membuka blog rakan-rakan yang mempunyai seribu satu kisah. Saya mengalakkan blogger lain terus berkarya.


Cuma yang malangnya apabila ada sebahagian daripada kita menjadikan media baru ini sebagai tempat melakukan fitnah dan serangan peribadi. Jika berlaku konfratasi dengan mana-mana pihak maka dengan segeranya melakukan kerja mungkar itu di dalam blog. Pantang berlaku perselisihan faham terus menghambur kata-kata kesat dalam blog dan lamansesawang sosial. Saya cukup kesal apabila teknologi telah mula disalahgunakan. Saya salah seorang yang menyokong kebebasan bersuara tetapi saya tidak menyokong kebebasan yang cenderung kepada fitnah dan maki hamun. Pada saya, tidak salah untuk meluahkan perasaan di blog tetapi haruslah dalam keadaan terkawal. Perbuatan menceritakan peribadi buruk seseorang di dalam blog sekalipun benar boleh dikategorikan sebagai mengumpat. Mengumpat itu berdosa dan mereka yang membacanya dikhuatiri turut terpalit dengan amalan yang tidak berpahala itu. Terdapat sesetengah blog yang saya layari adalah blog penyokong seumur hidup (die hard fan) parti politik yang menghambur dan mencaci parti lawan dengan begitu pedas dan tajam sekali. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Saya berharap rakan blogger yang membaca post saya kali ini mengambil berat dalam soal ini.

Pada masa akan datang diramalkan akan muncul lebih ramai blogger baru. Semoga blog dapat dijadikan alat teknologi yang memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia. Blogger perlulah matang dalam memanfaatkan teknologi yang serba canggih kini. Selamat memanfaatkan teknologi.

3 ulasan:

anies marniza berkata...

memang berbeza...saya akan terjah lagi..

alia kamal berkata...

blog penuh pengisian. keep on blogging yea :)

Tanpa Nama berkata...

cintai bahasa ibunda..