Khamis, 1 Mac 2012

Kehidupan Kampus Bakal Berakhir


Sekian lama saya tidak mengemaskini blog. Mungkin kerana saya terlalu sibuk dengan hal ehwal akademik serta urusan peribadi atau saya memang sengaja buat-buat sibuk atau kedua-duanya sekali. Walaubagaimanapun, pada hari penghulu segala hari saya mengambil juga sedikit masa untuk memberitahu perjalanan hidup saya yang terkini.

Saya kini berada di semester enam. Semester enam adalah semester terakhir bagi saya kerana tempoh pengajian saya di UUM hanya tiga tahun. Semester depan semua rakan-rakan INTAFF saya akan menjalani praktikum. Namun begitu, saya tidak membuat pratikum sebaliknya saya membuat latihan ilmiah. Di dalam jurusan pengajian saya siswa INTAFF harus memilih sama ada membuat praktikum atau latihan ilmiah. Saya memilih untuk membuat latihan ilmiah. Saya memilih latihan ilmiah kerana ia adalah sebagai perintis untuk menyambung pengajian di peringkat master. Sememangnya saya berhajat untuk menyambung pengajian di peringkat master tetapi saya perlu melihat dalam keaadaan semasa. Boleh jadi saya kerja dulu selepas tamat pengajian ijazah atau sambung terus. Tetapi saya tidak boleh memberi kata putus sekarang.


Semester terakhir saya ini juga bakal berlangsung pilihanraya kampus di universiti saya. Semester lepas saya menjadi jentera Transformasi Mahasiswa (TM). Namun, kali ini saya tidak akan lagi terlibat dengan pilihanraya kampus. Bukan semata-mata kerana sibuk untuk menyiapkan tesis saya tetapi kerana saya sudah menyampah dengan karenah pilihanraya kampus ini. Berat sebelah, beri tekanan, dan pelbagai lagi karenah yang berlaku. Sememangnya politik itu kotor kepada mereka yang meroyan gila kuasa. Sebelum saya melangkah ke alam universiti, saya agak berminat dengan gerakan siswa ini. Tertubuhnya dengan plebagai gerakan siswa seperti Aspirasi, Pro Mahasiswa, Kumpulan Mahasiswa Independen (KAMI), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) dan bermacam-macam lagi. Maaf cakap, sesetengah persatuan siswa ini kadang-kadang seperti menjadi alat kepada parti-parti politik tertentu. Saya juga keliru apa yang mereka perjuangkan sebenarnya.

Tindakan seorang siswa UPSI berdemonstrasi di hadapan pintu pagar UPSI pada malam tahun baru 2012 membuatkan saya tertanya-tanya apakah ini ciri-ciri pemimpin pelapis masa hadapan yang kita mahu?saya bersetuju dengan perjuangan mereka menuntut kebebasan akademik tetapi bagi saya bukan itu caranya. Walaubagaimanapun saya menyokong bekas YDP Sains Politik UKM yang didakwa melanggar peruntukkan AUKU kerana terlibat dalam pilihanraya kecil HULU Selangor. Kini, politik kampus UUM atau mana-mana IPT sekalipun, saya tidak berminat untuk ambil tahu. Biarlah mereka yang betul-betul licik dan pandai sahaja yang bermain politik kampus ini.


Semester ini juga, saya akan membentangkan kertas kerja di EDC Hotel UUM dalam Seminar International Malaysia-Thailand Studies. Saya akan membentangkan kertas kerja yang bertajuk English Education in Malaysia and Thailand: Effectiveness and Weaknesses . Selain itu, saya juga menjadi salah seorang jawatankuasa pelaksana Majlis Makan Malam Amal Intaff yang akan diadakan pada 23 Mac 2012 di Hotel Holiday Villa. Doakan segalanya-segalanya berjalan dengan lancar.

Marilah kita sama-sama berdoa agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan jasad dan rohani serta kita sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Tidak lupa juga kita berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Salam tajdid Jumaat.