Isnin, 29 Ogos 2011

Salam Aidilfitri


Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Walillalilham.

Alhamdulillah.Syukur kepada Allah S.W.T kita semua dapat menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan sempurna. Kebanyakan umat Islam bersolat sunat terawih,bersedekah, bertadarus Al-Quran serta memperbanyakkan amal makrruf pada bulan mulia ini. Saya percaya ramai umat Islam di Malaysia tidak sabar-sabar untuk menyambut hari lebaran ini terutamanya budak-budak kecil yang bakal "menyerang" rumah terbuka untuk mendapatkan duit raya. Mereka bukan mahu makan sangat.

Kini tibalah masanya untuk meraikan hari kemenangan umat Islam iaitu merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sesuai dengan maksud Aidilfitri itu sendiri iaitu fitrah maka umat Islam menikmati fitrah manusia meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Sebelum itu, marilah kita memperbanyakkan takbir kepada Allah S.W.T kerana berjaya menyempurnakan ibadah puasa kita. Sama-sama kita pohon agar dimurahkan rezeki dan dilanjutkan usia agar kita dapat lagi menjalani ibadah ini pada tahun hadapan.

Marilah pada bulan mulia ini, kita eratkanlah hubungan silaturahim dan persaudaraan sesama kita. Elakkan pembaziran dan berhati-hatilah ketika memandu kenderaan semasa beraya.Sesungguhnya ketibaan Syawal ini lebih bermakna tatkala ketika bersama keluarga.

Saya tidak mahu bicara panjang. Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali diri saya sama ada secara langsung atau tidak langsung.Jadikanlah Aidilfitri ini bermakna untuk kita semua.

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Walillalilham.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Kerana Aku Anak Merdeka


Tanggal 31 Ogos bertandang lagi
Mengingatkan kita kepada pejuang bangsa
menitiskan darah ke bumi
kerana menuntut kemerdekaan

Aku bersyukur ke hadrat Tuhan
Negaraku bebas dan aman
Rakyat dapat mengais rezeki
Siang dan malam bersilih ganti

Tapi negaraku aman
hanyalah seketika
Negara diporak-perandakan
Oleh mereka yang bernafsu besar
kita terhimpit
kita tersempit

Dahulunya kita merdeka
Dari cengkaman penjajah luar
Tapi kini kita dijajah oleh bangsa sendiri
Tatkala kita inginkan hak kita diberi
Kita ditekan agar tidak menentang
Kita ditindas atas nama keamanan
Jika ditentang penguasa zalim
Kita dianggap petualang

Ayuhlah temanku
Ayuhlah bangsaku
Kita bangsa pasca merdeka
Ayuh kita tuntut kemerdekaan kedua
Yang zalim mesti ditentang
Yang adil mesti ditegakkan

Aku bangkit bukan kerana nama
Tapi kerana aku anak merdeka



SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54