Khamis, 19 Mei 2011

POLIGAMI : NILAI DARI SUDUT POSITIF

Muka depan akhbar tentang perkahwinan terbaru Salih Yaacob

Baru-baru ini tersiar di dalam dada-dada akhbar mengenai perkahwinan selebriti Salih Yaacob, 50 tahun dengan bakal isteri ke-4 beliau yang dikenali sebagai Emi, 24 tahun. Setakat ini, Salih sudah mempunyai 3 orang isteri. Berita mengenai perkahwinan mereka menjadi mauduk utama bagi akhbar-akhbar tabloid negara. Dijangkakan perkahwinan mereka bakal berlangsung selepas Aidilfitri. Secara peribadi, saya mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada bapa saudara Johan Raja Lawak ini kerana akan mendirikan rumah tangga dengan isteri terbarunya.

Isu yang ingin saya bawa di sini bukanlah mengenai gosip atau cerita-cerita di belakang tabir mengenai Salih Yaacob dan pasangannya. Biarlah wartawan hiburan sahaja yang sibuk dengan benda-benda seperti itu. Isu yang saya ingin bicara adalah soal poligami. Sememangnya poligami adalah mauduk sensitif bagi golongan Hawa. Tetapi dalam kes Salih Yaacob saya merasa takjub dengan kerelaan ketiga-tiga isterinya yang membenarkan Salih Yaacob mencukupkan kuota isterinya. Namun, tidak ramai wanita yang sanggup bermadu dan dimadukan. Saya sendiri pernah bertanyakan kepada segelintir kaum wanita tentang pendapat mereka mengenai poligami. Majoriti daripada mereka tidak setuju (sebenarnya lebih tepat tidak rela) dimadukan oleh suami. Bagi mereka, adalah sesuatu yang sukar diterima untuk hidup berkongsi teman hidup dengan orang lain. Mereka menganggap perbuatan si suami yang bernikah lebih daripada satu sebagai saat kehancuran kehidupan berumah tangga. Mereka seringkali menyalahkan sebagai pihak ketiga yang menghacurkan kehidupan sesebuah pasangan.


Salih Yaacob dan Emi ketika diwawancara oleh wartawan

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir suami menyalahgunakan keistimewaan poligami ini. Sesetengah daripada mereka berpoligami kerana nafsu tetapi bersandar kononnya mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W padahal poligami yang ingin diamalkan tidak pula menepati sepenuhnya hukum syarak. Tidak semua golongan Adam mampu berpoligami. Mereka yang lemah dari sudut kewangan dan kudrat tetapi bernafsu besar untuk berkahwin lebih. Hukum berpoligami ini pun ada pelbagai. Saya tidak mahu berbicara panjang mengenai hukum poligami kerana dibimbangi tersalah tafsir. Biar pakar agama sahaja yang menyentuh soal hukum dan dalil poligami. Tetapi, setakat mana yang saya belajar, poligami itu mestilah disertakan dengan kebertanggungjawaban yang tinggi serta keadilan yang saksama. Inilah yang perlu dibayar balik oleh para suami apabila mereka mahu berpoligami.

Cuma apa yang saya tekankan di sini ialah kepada lelaki mahupun wanita bahawa melihat poligami itu sebagai ibadah. Ibadah ini juga diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Ibadah yang ikhlas kerana Allah S.W.T akan mendapat ganjaran pahala. Begitu juga dengan isteri yang redha dan memberi kerelaan suami berpoligami. Si isteri juga akan memperolehi pahala dan rahmat daripada Allah S.W.T. Dulu sering kita dengar bahawa isteri yang membenarkan suaminya kahwin lagi akan mendapat payung emas di syurga nanti. Terdapat pendapat mengatakan itu hadis. Walaubagaimanapun saya tidak mengetahui berkaitan dengan kesahihan perkara itu. Mungkin saya akan cuba mencari kesahihan mengenainya pada masa akan datang.

Permasalahan yang lain saya lihat bahawa kebanyakan wanita masih bersikap pesimis dan negatif tentang poligami. Sudah tiba masanya wanita Islam melakukan anjakan paradigma. Jika suami betul-betul layak dari pelbagai aspek maka permudahkanlah proses poligami itu. Saya khuatir isu ini akan diekploitasikan oleh gerakan feminis liberal yang mendakwa poligami ini sebagai mendiskriminasikan golongan wanita. Di sinilah betapa pentinganya pendidikan syariah. Poligami bukan sahaja perlu dilihat dari sudut fikah semata-mata tetapi dari sudut kemanusiaan.Contoh-contohnya seperti membantu mengembangkan zuriat, mengelakkan zina, membantu janda-janda yang kematian suami dan menolong wanita-wanita yang payah mencari pasangan hidup.


Saya percaya ada sesetengah pihak terutamanya golongan wanita akan berang dan tidak setuju dengan apa yang saya bicara di sini. Saya menyokong poligami bukan kerana saya seorang lelaki atau bukanlah kerana saya memang mahu berpoligami. Saya cuma menyokong jika poligami itu mendapat berkat dan rahmat di sisi Allah. Saya tidak akan menyokong jika poligami itu menampakkan ketidakadilan terhadap para isteri. Lagipun, saya percaya bukan semua lelaki yang bergelar suami betul-betul berkemampuan menguruskan para isteri dan anak-anak mereka dengan adil. Perkara utama yang saya tekankan adalah soal keadilan dan keupayaan suami sebagai ketua keluarga. Wanita Islam pada hari ini perlu lebih berjiwa besar dan berlapang dada dalam menghadapi situasi seperti ini. Kita harus menerima hakikat bahawa kita perlu berkongsi dengan apa yang kita ada di dunia ini. Kita bukanlah pemilik mutlak.Saya percaya perkongsian dapat mewujudkan kebahagiaan dan kasih sayang.

Bak kata pepatah Inggeris “sharing is caring”.