Selasa, 9 November 2010

Kenanganku bersama SMASID


Tetiba saya terpanggil untuk menyingkap kembali sejarah pendidikan saya. Bermula dari Tingakatan satu hingga lima saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun atau singkatannya SMASID. Saya menyambung pelajaran di tingkatan enam di Sekolah Menengah kebangsaan Agama Sheikh ABdul Malek (singkatannya SHAMS) di Kuala Terengganu. Tetapi saya tidak mahu menceritakan kenangan saya di SHAMS kali ini. Insyaallah saya akan menceritakannya pada masa akan datang.Kenangan di SMASID berbeda dengan kenangan di SHAMS. SMASID melahirkan saya sebagai seorang pelajar yang mengenali displin ilmu dan SHAMS melengkapkannya.





Pintu masuk hadapan SMASID. Gambar dia atas merupakan pintu pagar yang telah dinaiktarafkan

 Sebelum saya menceritakan pengalaman saya di SMASID, adalah lebih baik saya menceritakan sejarah ringkas mengenai SMASID ini. SMASID ditubuhkan pada hari Sabtu 26 April 1958 bersamaan 7 Syawal 1377 Hijrah. Sekolah ini ditubuhkan oleh jawatankuasa yang dibentuk dan dipengerusikan oleh Pegawai daerah pada ketika itu, dato Aria Negara Tuan Bachik bin Abdul Jalil. Pada peringkat awal, sekolah ini mempunyai seramai 94 orang pelajar (48 lelaki dan 46 perempuan). Pengetua yang pertama bernama Ustaz Lop Yusof bin A.Rahman. Pada 24 Julai 1958, setelah tiga bulan sekolah ini di buka, maka satu upacara rasmi disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Al Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu pada ketika itu. Sempena mengambil nama baginda maka sekolah ini diperkenalkan sebagai Sekolah Agama Sultan Ismail Dungun.


  Gambar kelas saya Tingkatan 3L2 tahun 2004. Saya duduk dibarisan tengah (4 dari kanan)

Sebelum memasuki alam sekolah menengah, saya agak berkira-kira sama ada saya patut belajar di dalam sekolah aliran agama. Sehinggalah saya tamat pelajaran sehingga tingkatan lima, barulah saya sedar. Suasana di sekolah agama memang berbeda dengan sekolah aliran biasa. Di dalam sekolah saya, pelajar-pelajar wanita lebih nampak bersantun dan menjaga adat walaupun  bukan semuanya seperti itu. Pergaulan pelajar lelaki dan perempuan agak terbatas. Salah satu sebabnya ialah berlaku pengasingan kelas antara lelaki dan perempuan. Di sekolah agama, kebanyakan pelajar lelaki dan wanita menjaga adat dan tatasusila mereka. Berbeda dengan apa yang saya perhatikan di universiti yang saya berada sekarang. Mungkin itu juga faktor mengapa saya tidak banyak bergaul dengan para siswi di Bukit Kachi khususnya. Tetapi, sekarang saya cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru di UUM. Namun pada suatu ketika pergaulan lelaki dan perempuan sama sahaja seperti di sekolah-sekolah aliran biasa.Sistem pendidikan di sekolah aliran agama sama sahaja dengan sekolah aliran biasa kecuali ada beberapa subjek agama yang diterapkan.Tingkatan satu saya mempelajari I'dadi iaitu satu subjek asas agama yang diajar di dalam bahasa Arab. I'dadi di ajar dari pelajar tingkatan satu hingga tiga.  Semua pelajar wajib menghafaznya dan mengambil imtihan(peperiksaan) terhadap subjek ini. Saya juga masih ingat ketika saya di tingkatan satu, saya dirotan bersama rakan-rakan yang lain oleh Ustaz Zaini yang juga Guru Displin kerana tidak menghafal I'dadi. Semasa di tingkatan tiga pula, saya dan kawan-kawan sekelas saya pernah dihukum oleh Cikgu Bahasa Melayu kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Cikgu Bahasa Melayu saya menghukum saya dan kawan-kawan duduk mencangkung di luar kelas sambil diperhatikan oleh ramai pelajar dari kelas lain yang lalu-lalang. Satu lagi kes yang saya ingat, Saya pernah dihukum dikurung dalam gelanggang tenis gara-gara sampai lewat ke sekolah.

                                           Gambar saya ketika tingkatan 4

Pada zaman persekolahan menengah juga saya sebagai pelajar sekolah terikat dengan peraturan dan displin sekolah. Saya dirotan dan digunting rambut oleh Guru Displin kerana berambut panjang. Maklumlah, zaman tingkatan satu hingga tiga adalah zaman  kebudakan  dan kenakalan saya.  Beberapa kawan saya lagi hebat kenakalannya. Sesetengah daripada mereka dibuang asrama kerana melakukan pelbagai kesalahan di asrama dan sekolah.Tidak perlulah dinyatakan jenis kesalahan mereka. Malu pula nak sebut. Ramai yang datang belajar di SMASID dan bukan dari kawasan Dungun sahaja. Terdapat juga mereka yang datang dari daerah Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Marang dan termasuk Hulu Terengganu.

Kebanyakan bekas pelajar  SMASID ini berjaya dalam profesyen masing-masing terutamanya mereka yang mengambil jurusan pengajian agama. Sebahagian besar bekas pelajar SMASID ini berjaya menyambung pelajaran ke Timur Tengah seperti di Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordan.  Selain itu, ada juga mereka yang menyambung pengajian di universiti-universiti awam di seluruh negara. Salah seorangnya mungkin seperti saya.Namun begitu, disebalik kehebatan SMASID ini, ada juga kekurangan dan kelemahan. Tidak salah jika saya mengkritik sekolah saya sendiri jika untuk kebaikan SMASID itu sendiri.


Jika saya menceritakan kenangan saya di SMASID  dari tingkatan satu hingga lima mungkin post ini akan panjang berjela. Mungkin juga boleh dijadikan jilid buku, Saya hanya mahu menceritakan apa yang saya ingat sahaja. Walaupun SMASID adalah sekolah aliran agama tetapi bukan semua pelajarnya berperangai seperti malaikat. Jenis manusia yang berperangai macam tidak ada agama pun ada di SMASID. Terdapat juga beberapa perkara yang saya kurang senang dengan kawan-kawan sekolah saya tetapi walaubagaimanapun saya tetap menganggap mereka sebagai kawan. Sebaiknya, saya sudah melakukan yang terbaik.


Kini, sudah hampir lima tahun saya meninggalkan SMASID. Kali terakhir saya hadir ke SMASID adalah apabila ada majlis sambutan raya Aidilfitri  tahun ini anjuran Alumni SMASID. Saya dapat bertemu kembali dengan kawan-kawan sekolah lama saya termasuk guru-guru yang pernah mengajar saya, Saya lihat ada beberapa rakan-rakan lama saya sudah berubah dari segi fizikal dan matang. Tetapi masih ada lagi yang saya lihat belum berubah walaupun sudah tidak lagi bergelar sebagai pelajar sekolah.Apabila saya menjadi pelajar tingkatan lima, saya dilantil sebagai pengawas dn di situlah saya merasai soal pertanggungjawaban.


Itulah kenangan saya. Ditampar,disebat, didenda masuk dalam gelangang tenis, dipkasa "jalan itik" dan bermacam-macam lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang belajar di SMASID. Sesungguhnya SMASID bukanlah sebuah sekolah yang saya patut bangga tetapi saya harus berasa bersyukur kerana dapat mencari ilmu yang saya perolehi di SMASID terutamanya ilmu agama. Pengalaman di SMASID membuatkan saya banyak berfikir dan belajar dari pengalaman.  Semoga SMASID terus maju.


                             Saya ketika bersama senior SPM 2005


Gambar saya bersama rakan-rakan kelas saya tingkatan 5A2. Saya yang berdiri dibelakang kanan sekali.
Bersama kawan-kawan ketika Kem Kecemerlangan SPM 2006 di Cherating,Kemaman.Di dalam gambar saya  berbaju merah.

Gambar ini diambil semasa saya di tingkatan 4. Bersama saya dalam gambar ialah dari kiri Ustaz Zaini, Syakib, Hafizul Faris, Nazaruddin dan saya di sebelah kanan sekali.