Isnin, 26 Julai 2010

Perpaduan Melayu Hanya Tinggal Retorik


Tetiba kebelakangan ini muncul kembali isu perpaduan Melayu.Banyak pihak mula mencanang hebat soal perpaduan Melayu/Islam ini.Apabila disebut mengenai perpaduan Melayu tidak lain dan tidak bukan akan dikaitkan dengan kerjasama UMNO dan PAS.Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria nampaknya begitu beria-ria mahu UMNO dan PAS bekerjasama demi Melayu dan Islam.Beliau mendakwa ada pemimpin PAS dan UMNO datang bertemu dengan beliau bagi membincangkan mengenai kerjasama UMNO dan PAS.



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin juga kelihatan bersungguh untuk membawa UMNO bekerjasama dengan PAS setelah Mufti Perak menyatakan hasrat sedemikian.Malah beliau sedia untuk bertemu dengan Mursyidul Am PAS Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan ke arah kerjasama dan perpaduan Melayu.UMNO begitu beria-ria mahu bekerjasama tetapi disambut dingin oleh PAS.PAS mendakwa Mufti Perak sebagai pembohong dan menjadi tali barut UMNO manakala Harussani menafikan tuduhan tersebut.Apabila PAS mula menyerang Harrusani dalam isu ini kelihatan UMNO seperti membela Mufti Perak tersebut walaupun selama ini UMNO yang memperlekehkan institusi mufti.



Pendirian PAS untuk tidak mahu bekerjasama dengan UMNO ada rasionalnya.PAS pernah ditendang keluar oleh Barisan Nasional suatu ketika dahulu.Memanglah saat itu amat pahit buat PAS.Kini setelah UMNO makin kehilangan kuasa dan pengaruh terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu,UMNO mencari sokongan nyawa melalui PAS.Kadangkala saya agak hairan dengan tindakan UMNO ini.Sebelum pilihanraya 2008,Pengerusi UMNO Selangor pada ketika itu Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo melancarkan rancangan sifar pembangkang.Tetapi ditakdirkan oleh Allah S.W.T pembangkang tidak menjadi sifar sebaliknya beliau pula menjadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor sekarang. Dulu UMNO menuduh PAS dengan pelbagai tuduhan yang berat seperti parti ekstrem dan pemecah-belah masyarakat dan terbaru sebagai ajaran sesat.Dulu UMNO mendabik dada bahawa kononnya merekalah juara Melayu dan tempat UMNO bergantung sehingga timbul pemikiran khurafat dalam sesetengah orang Melayu yang kurang cerdik akidahnya bahawa hanya UMNO dan BN yang boleh memajukan,membangunkan negara khususnya kepada orang Melayu di Malaysia.Kini,setelah kalah teruk dalam pilihanraya 2008 dan kalah dalam banyak siri pilihanraya kecil mereka mula membuat propaganda murahan.Kononnya kuasa Melayu sedang terancam.Rasanya retorik murahan seperti ini tidak menarik minat rakyat.



PAS pula bersikap sensitif dan menyingga apabila muncul isu perpaduan Melayu ini..Sesetengah pemimpin PAS sudah berani mengecam Mufti Perak dengan pelbagai kecaman.Sudah ada pemimpin PAS yang berani menyanggah mufti dengan kasar sekali.Amat malang pemimpin parti Islam membuat kenyataan yang bersifat negatif terhadap mufti Perak ini.Setelah Harussani tidak lagi dilihat sebagai membela PAS kini Harussani pula menjadi mangsa serangan PAS.Sepatutunya sebagai pemimpin gerakan Islam,PAS perlu menjaga mulut mereka daripada mengeluarkan kenyataan yang bersifat negatif terhadap Harrusani.Biarlah kerja maki-hamun itu dilakukan oleh ahli-ahli PAS yang tidak cukup didikan Islam dan jahil.Sesuatu yang kontradik jika PAS mula dilihat sebagai berkonfratasi dengan institusi mufti.Pemimpin PAS yang dulunya pro muzakarah PAS-UMNO kini menjadi anti perpaduan setelah jawatan yang disandangnya kukuh. Nampaknya mungkin sudah wujud pemimpin PAS yang berjuang untuk kebendaan.



Saya fikir tidak perlu dua parti Melayu/Islam ini bekerjasama dalam tempoh waktu ini.Biarlah kedua-dua parti ini berada pada lingkungannya tersendiri.Bagi membangunkan umat Islam dan bangsa Melayu Malaysia tidak semestinya bergabung dan bergantung kepada dua parti melayu ini.Ada baiknya juga jika Harusani mendiamkan diri dalam hal ini kerana perpaduan yang diusahakannya itu tidak akan ke mana dan hanya sekadar tinggal retorik sahaja.