Rabu, 11 November 2009

Dr Asri Tidak Perlu Sertai Parti Politik


Gempar seluruh negara apabila bekas mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin ditahan oleh pihak berkuasa agama bersama pihak polis.Alasan penangkapan beliau adalah kerana beliau mengajar kuliah agama tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Beliau ditahan ketika mengajar disebuah rumah di Selangor.Walaubagaimanapun,beliau dibebaskan dengan jaminan polis dan tiada pendakwaan ke atas beliau walaupun beliau menunggu selama 3 jam di mahkamah untuk mendengar pendakwaan. Ini kenyataan beliau mengenai penangkapan kontroversinya:


Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk "memerangi" golongan agama. Dikala umat Islam sedang kehausan ilmu dan bimbingan,lalu diletakkan seribu halangan untuk insan Muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi SAW:Sampaikan dariku walaupun satu ayat(Riwayat Al-Bukhari).




Bagi mereka yang gemar membuat spekulasi dan teori konspirasi akan membuat teori bahawa kononnya penangkapan Dr Asri mempunyai motif politik tersirat. Jelas sekali saya tidak nampak mana-mana parti politik mendapat faedah dengan penangkapan beliau.Sama ada UMNO atau PAS. Kalau dikatakan Pas dan Pakatan Rakyat yang menjadi dalang disebalik penahanan Dr Asri adalah tidak munasabah kerana YB Zuraida Kamaruddin serta YB Saari Sungip turut serta berada dalam majlis bekas mufti Perlis itu. Jika PAS dan PR terlibat bagaimana pula wakil rakyat PR boleh berada sama dalam majlis tersebut?. Kronologi penangkapan kontroversi Dr Asri bermula dengan tindakan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PSGM) menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengenai pelantikan Dr Asri sebagai Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).



Pihak PSGM mendakwa kononnya Dr Asri berfahaman Wahhabi,mencela Imam Nawawi dan Imam Bukhari serta mempertikaikan iktikad ahli Sunnah Wal Jamaah. Mungkin kerana itu beliau ditangkap kerana menyebar "ajaran sesat". Menurut mantan Mufti Perlis ini beliau tidak terkejut dengan tuduhan-tuduhan tersebut kerana ketika beliau memegang jawatan Mufti Perlis sekalipun beliau tetap dihalang mengajar agama di Selangor.


Tidak perlu dibicarakan lagi tentang sikap tidak profesional JAIS dalam penangkapan Dr Asri. Semua pihak sudah mengecam pihak berkuasa agama tersebut. Sepatutnya JAIS perlu menangkap individu yang membuat Islam Baru seperti Islam Hadhari. Masakan JAIS tidak kenal siapa pengasas Islam Hadhari. Jais perlu bijak bertindak dan bukannya menggunakan kuasa yang ada untuk menangkap ulama yang memberikan pandangan berbeda daripada ulama lain. Disebabkan penangkapan itu,Dr Asri menyatakan beliau sudah tidak berminat dengan jawatan YADIM.


Baru-baru ini beliau menyatakan sekiranya beliau begitu sukar untuk berdakwah dan terpaksa mendepani pelbagai halangan,beliau akan berfikir secara serius untuk menyertai parti politik. Hal ini dikuatkan lagi dengan lawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Dato' Harun Taib ke rumah kediaman Dr Asri. Kunjungan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat ke rumah Dr Asri menguatkan lagi spekulasi yang mantan Mufti Perlis ini akan menyertai parti politik. Bukan sahaja PAS yang mengajak Dr Asri menyertai parti politik tetapi juga UMNO. Tetapi saya sedikit hairan dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan yang mengalu-alu Dr Asri untuk menyertai UMNO jika berminat menyertai politik. Saya juga hairan bagaimana Ahmad Maslan boleh mengatakan Dr Asri memberi sokongan kepada perjuangan UMNO sedangkan Dr Asri dilaporkan berminat menyertai PAS. Dr Asri menganggap perjuangan PAS selari dengan pendiriannya untuk berdakwah.



Saya memang tidak bersetuju jika Dr Asri menyertai parti politik.Tidak kiralah sama ada PAS atau UMNO. Saya berpandangan Dr Asri masih mempunyai ruang untuk berdakwah. Kalau beliau menyertai parti politik dibimbangi beliau berbicara agama untuk kepentingan parti politik tersebut dan beliau sendiri akan terikat dengan banyak perkara dan pandangan agama beliau sudah tidak neutral lagi. Saya menyokong perjuangan Islam tetapi tidak semestinya melalui PAS semata-mata. PAS adalah parti politik. Walaupun parti tersebut ada agenda dakwah namun hakikatnya PAS tetap mahukan kuasa undi. Kalau Dr Asri tidak perlu sertai PAS bermakna UMNO pun mesti berhenti berharap. UMNO memang diketahui parti yang tidak konsisten pendirian Islamnya. Walaupun kerajaan UMNO dan BN mendakwa Malaysia sebagai Negara Islam tetapi ianya sekadar slogan untuk menyedapkan umat Islam Malaysia dan tiada pengisian yang sempurna dalam "Negara Islam" yang mereka laungkan suatu ketika dahulu.



Sekiranya beliau menyertai politik,banyak karenah politik yang beliau terpaksa hadapi. Terdapat banyak ulama-ulama dalam PAS sehingga mereka ada dua sayap parti yang penting iaitu Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS. Biarlah Dr Asri berdakwah dan menyebarkan Islam dengan caranya tersendiri. PAS sudah mempunyai ramai agamawan dan tidak perlulah Dr Asri menyertainya. Cukuplah sekadar beliau menjadi orang ketiga di antara dua parti Melayu ini. Sekiranya PAS menjadi pilihan beliau dibimbangi beliau terpaksa bercakap atas kepentingan politik dan kuasa. Politik itu akan menjadi kotor kalau ada ahli-ahli politik negara yang mengamalkan konsep Machivalianisme iaitu "matlamat menghalalkan cara". Biarkan ulama-ulama PAS sahaja yang membersihkan kotoran tersebut.



Dr Asri perlu berbicara soal Islam melangkaui politik kepartian dan bukan bercakap mewakili mana-mana parti politik.Dr Asri lebih sesuai menjadi ilmuan yang berdiri di atas keintelektuan ilmu berbanding ahli politik kepartian. Namun begitu,jika Dr Asri tekad untuk menyertai parti politik kerana merasakan dengan menyertai politik beliau dapat berdakwah,diucapkan maju jaya dan teruskan perjuangannya. Saya hanya mampu menyokong dari belakang. Saya mendoakan yang terbaik untuk beliau.Amin.