Khamis, 21 April 2011

MENGAPA BLOG INI BERBEDA?


Penggunaan teknologi kian canggih saban hari. Sejak Internet diperkenalkan rakyat Malaysia makin memanfaatkan penggunaan Internet serta kemudahan teknologi lain dalam kehidupan mereka. Salah satu manfaat Internet adalah blog. Selain blog terdapat lamansesawang sosial yang semakin popular sekarang seperti Facebook, Twitter, My Space, Friendster dan sebagainya. Namun di ruangan kali ini saya mahu fokus tentang blog terlebih dahulu. Mengenai lamanseswang sosial saya akan bicara pada masa akan datang.

Blog bolehlah dianggap buku diari atau buku nota bagi seseorang kerana blog dijadikan tempat meluahkan apa yang terbuku di hati mahupun yang terbungkam di minda. Mereka yang mempunyai blog digelar sebagai blogger. Ramai dalam kalangan rakan saya sudah mempunyai blog termasuk saya. Saya menjadikan blog sebagai tempat untuk meluahkan pandangan dan memberi kritikan terhadap beberapa isu semasa atau berkongsi mana-mana ilmu yang saya tahu. Saya cuba memberikan pandangan saya sebagai seorangrakyat Malaysia dalam isu-isu seperti ekonomi, sosial, politik, perundangan dan agama. Saya fikir sebagai seorang rakyat dan mahasiswa saya perlu mempunyai pengalaman serta pengetahuan akademik yang secukupnya dalam merentasi pelbagai jenis displin ilmu. Melalui cara begitu barulah darjat kemuliaan insan dapat ditingkatkan. Di dalam usaha saya untuk menjadi seorang ahli akademik yang berjaya maka saya perlu berusaha dari sekarang untuk mengolah dan memberikan suatu sudut pandangan mengenai apa jua isu terutamanya isu politik domestik dan antarabangsa yang merupakan skop pengajian saya di universiti. Melalui blog ini jugalah saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada semua. Melalui pendekatan seperti ini, barulah pahala dan rahmat bertaburan sesama umat Islam. Saya memerlukan kalam dan minda dalam usaha menjadi seorang ilmuan di samping menghasilkan karya-karya ilmu saya. Sebab itulah blog ini diberi nama Kalam Minda Muiz.


Tetapi terdapat dalam kalangan sahabat bertanya kepada saya mengapa blog saya ini bersifat “poyo dan skima.” Saya faham mengapa mereka bertanya demikian. Mereka melabelkan blog saya sebagai poyo dan skima sebab blog saya berbeda dengan mereka. Saya melihat blog kawan-kawan bercerita mengenai wayang, artis, kenduri kendara, hal-hal perempuan dan laki-laki, fesyen,cintan-cintan dan sebagainya. Tidak mungkin saya dapat menyenaraikan semua genre cerita dalam blog rakan-rakan blogger saya di ruangan ini. Dalam erti kata lebih mudah, kebanyakan rakan blogger saya menceritakan perkara-perkara santai di blog mereka dan blog saya tidak seperti mereka. Mungkin disebabkan itulah blog saya dikatakan poyo. Satu lagi, rakan-rakan blogger saya menggunakan bahasa Melayu rojak di dalam blog. Istilah seperti exam,konpem,siyes,dude,gurls, aku,ko,phm,mam,knape,bile,outing dan banyak lagi pengunaan bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur baur digunakan secara meluas dalam blog sedangkan di dalam blog ini saya menggunakan Bahasa Melayu baku supaya tidak berlaku pencemaran bahasa dan kelihatan sesuatu isu atau perkara yang saya bangkitkan dilihat serius. Tambahan pula penggunaan Bahasa Melayu yang betul dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada pembaca. Lagipun, penggunaan bahasa Melayu rojak dan pasar seolah-olah menunjukkan tahap emosional dan rasional blogger. Mungkin disebabkan itu juga blog saya dikatakan skima. Walaubagaimanapun, saya tidak mengatakan salah jika mereka berbuat demikian. Malah saya seronok membaca blog mereka. Jika kepala saya berserabut dan stress, saya boleh membuka blog rakan-rakan yang mempunyai seribu satu kisah. Saya mengalakkan blogger lain terus berkarya.


Cuma yang malangnya apabila ada sebahagian daripada kita menjadikan media baru ini sebagai tempat melakukan fitnah dan serangan peribadi. Jika berlaku konfratasi dengan mana-mana pihak maka dengan segeranya melakukan kerja mungkar itu di dalam blog. Pantang berlaku perselisihan faham terus menghambur kata-kata kesat dalam blog dan lamansesawang sosial. Saya cukup kesal apabila teknologi telah mula disalahgunakan. Saya salah seorang yang menyokong kebebasan bersuara tetapi saya tidak menyokong kebebasan yang cenderung kepada fitnah dan maki hamun. Pada saya, tidak salah untuk meluahkan perasaan di blog tetapi haruslah dalam keadaan terkawal. Perbuatan menceritakan peribadi buruk seseorang di dalam blog sekalipun benar boleh dikategorikan sebagai mengumpat. Mengumpat itu berdosa dan mereka yang membacanya dikhuatiri turut terpalit dengan amalan yang tidak berpahala itu. Terdapat sesetengah blog yang saya layari adalah blog penyokong seumur hidup (die hard fan) parti politik yang menghambur dan mencaci parti lawan dengan begitu pedas dan tajam sekali. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Saya berharap rakan blogger yang membaca post saya kali ini mengambil berat dalam soal ini.

Pada masa akan datang diramalkan akan muncul lebih ramai blogger baru. Semoga blog dapat dijadikan alat teknologi yang memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia. Blogger perlulah matang dalam memanfaatkan teknologi yang serba canggih kini. Selamat memanfaatkan teknologi.

Selasa, 8 Februari 2011

Bakti Siswa Chini 3

 
Tanggal 3-7 Febuari 2011 merupakan tempoh saya bersama rakan-rakan dari UUM amnya dan Dewan Penginapan Pelajar Bank Rakyat khasnya mengadakan program Bakti Siswa Limpahan Budi Ikatan Ukhwah di Chini 3. Peserta yang terlibat dengan program bakti siswa ini terdiri daripada senior dan junior. Antara sahabat saya yang menyertai program anak angkat ini termasuklah pengarah projek bakti siswa ini iaitu Ku Amirul Faiz, Faizal Che Saad, Amirul Asyraf, Amer Izuddin, Saidatul Akhmar, Khalifa Omar, Suandy, Mukhri, Arni, Nadia, Zahidah, Azira serta rakan-rakan lain yang saya sudah lupa nama mereka. Program ini mendapat kerjasama penuh daripada FELDA serta masyarakat peneroka setempat.


Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada pengarah projek Ku Amirul Faiz kerana berjaya mengadakan program anak angkat ini. Sudah menjadi adat kehidupan bahawa sesuatu perkara yang kita rancang mesti terdapat juga kecacatan dan kelemahan. Begitu juga dengan program ini. Namun bukanlah niat saya untuk mencari kelemahan tersebut. Saya percaya dan yakin sahabat saya yang menjadi pengarah projek serta ahli jawatankuasa pelaksana bakti siswa ini telah mencuba sedaya upaya demi memastikan kelancaran program ini.  


Saya tidak mahu bicara panjang. Saya mahu tunjukkan beberapa keping gambar yang saya telah ambil ketika di program bakti siswa di Chini, Pahang Darul Makmur.


         dua gambar di atas di ambil ketika mesyuarat terkahir sebelum berlepas ke Chini

                                       bergambar sebaik sahaja tiba di Chini

                                        pergi jalan-jalan bila dah sampai

                                   bersama pengarah projek baksis Ku Amirul Faiz


                                            antara barisan kepimpinan warga Felda Chini


                                                menari tarian poco-poco

                                        antara peserta-peserta baksis

                             program baksis dirasmikan oleh Adun Chini Dato' Abu Bakar 

                                           gotong-royong mengecat pagar

peserta baksis membuat pemeriksaan kesihatan. berbaju merah di atas adalah Azlan. senior sem 6

                            bergambar ketika belayar di dalam bot di Tasik Chini

                                       bergambar di perkampungan Orang Asli

                      bergambar dengan keluarga angkat sebelum berangkat pulang

Kepada kawan-kawan saya yang menyertai program baksis ini ingin mendapatkan semua gambar yang saya ambil bolehlah datang berjumpa dengan saya. Saya tidak berkemampuan untuk meletakkan semua gambar di dalam blog atau Facebook. Saya tidak akan melupakan kenangan saya dalam program bakti siswa ini.

Sabtu, 29 Januari 2011

Cuti Semester 3 : Gotong Royong Surau Puan Hajah Aisyah


Pada cuti semester lepas saya terlibat dengan gotong royong dan menaiktaraf surau kampung saya. Sebelum ini surau kampung saya dikenali sebagai Surau Jalan Kenanga tetapi sekarang ditukar kepada Surau Puan Hajah Aisyah. Nama Puan Hajah Aisyah diambil sempena nama isteri kepada pemilik tapak rumah yang telah diwakafkan menjadi surau.

Menariknya, gotong royong ini mendapat usahasama daripada kakitangan Petronas. Petronas ada menyumbang beberapa bantuan kepada surau kami. Petronas juga mempunyai aktiviti kebajikan bersama orang-orang kampung. Walaubagaimanapun, ada perkara yang saya agak tidak berkenan dengan apa yang berlaku iaitu salah seorang kakitangan petronas itu adalah seorang wanita yang berbangsa Cina dan dia memang bukan beragama Islam. Tidak salah jika dia masuk ke surau kami tetapi dia tidak berpakaian menutup aurat. Sepatutnya wakil Petronas yang beragama Islam perlu menegur perbuatan seperti ini. Seperkara lagi ialah salah seorang wakil Petronas yang memberi ucapan di dalam surau itu tidak memahami jenis bahasa yang sepatutnya yang dia perlu guna. Saya fikir tidak sesuai dia menggunakan istilah "mengincreasekan". Istilah itu adalah bahasa rojak Melayu dan Inggeris. Memang langsung tidak sesuai untuk digunakan apatahlagi debgan orang-orang kampung. Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana sudi memberi sumbangan kepada surau di kampung saya.. Semoga surau yang telah dibaiki, dibersih dan dinaiktarafkan ini memberi keselesaan kepada jemaah surau untuk beribadat. Saya mengharapkan pada masa akan datang kerja-kerja makruf ini dapat diteruskan dengan melibatkan lebih banyak golongan belia. Di sini saya letakkan beberapa kepinrig gambar yang sempat saya ambil semasa gotong royong tersebut.

     Ustaz daripada UITM menyampaikan tazkirah sebelum memulakan gotong-royong

                    Ustaz Him (Ibrahim) memberi ucapan alu-aluan sebelum gotong-royong

                                         wakil daripada Petronas memberikan ucapan

                                               bersarapan sebelum bergotong-royong

                                        


 menerima sumbangan hadiah daripada Petronas

menikmati juadah makan tengah hari

                                                 replika sumbangan daripada Petronas

                       Bergambar kenangan selepas merasmikan penjenamaan semula surau