Jumaat, 20 April 2012

Benarkah Mereka Mahu Pasangan yang Beragama?

Sejak kebelakangan ini,terlalu banyak post yang terpampang di dinding laman sesawang saya(wall Facebook)yang diletakkan oleh kawan-kawan FB saya mengenai cinta-cinta Islamik. Terdapat post menerangkan ciri-ciri lelaki idaman menurut Islam, cinta selepas nikah dan pelbagai lagi. Ada juga post yang menerangkan mengenai ciri-ciri wanita yang perlu dikahwini, bercinta secara islam dan bermacam-macam lagi. Sehinggakan saya juga dah lupa dan muak untuk baca kesemuanya. Pendek kata, kawan-kawan FB saya mahu pasangan hidup mereka merupakan pasangan yang beragama. Persoalannya, apakah mereka betul-betul menginginkan pasangan yang beragama?.

Pada saya, saya mengambil sikap berprangsangka baik (husnuzon). Saya melihat sesuatu yang positif apabila ada kesedaran dalam kalangan kawan-kawan FB untuk ke arah kehidupan beragama. Namun, pada masa yang sama saya musykil dengan mereka. Kalau wanita, di dalam FB, mereka kata mereka mahu pasangan mereka tidak tinggal solat, selalu solat di masjid, selalu membaca Al-Quran serta mampu membimbing ke syurga namun di dunia realiti lelaki yang mereka "bercouple" sekarang langsung tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.

Saya pernah menjadi orang tengah(matchmaker)untuk menjodohkan dua orang insan. Wanita dan lelaki yang saya ingin memperkenalkan mereka adalah kawan saya. Kawan saya yang perempuan itu pernah memberitahu bahawa dia mahu jodohnya dengan seorang yang kuat solat, boleh menjadi imam dan bermacam-macam lagi. Atas kapasiti seorang kawan, saya cuba memperkenalkan seorang kawan lelaki saya kepadanya. Malangnya, wanita itu tidak berminat pula sedangkan kawan lelaki saya itu mempunyai ciri-ciri yang dia inginkan. Terdapat seorang lagi kawan wanita saya menulis dalam FB bahawa hanya lelaki yang membaca dan menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta selalu solat berjemaah di masjid yang dapat mencairkan hatinya. Padahal dia sekarang "bercouple" dengan seorang lelaki yang masjid pun jarang pergi. Makin lama makin meluat saya melihat gelagat sesetengah manusia yang mulut kata lain tetapi perbuatan buat lain.

Terdapat lagi satu kes yang mana seorang wanita di tempat pengajian saya menulis di dalam FB bahawa dia mahu berkahwin dengan lelaki yang mencintai dirinya kerana Allah. Tetapi, apabila datang lelaki yang jujur dan ikhlas di depannya dia tidak berminat dan ayat kesudahan yang sesuai untuknya dengan menyebut "kita tiada jodoh". Usaha belum dibuat tetapi awal-awal lagi sudah kata tiada jodoh. Saya dapat menduga kenapa dia menolak. Salah satu faktornya ialah kerana lelaki itu tidak ada rupa yang kacak seperti Aaron Aziz.Sebenarnya sesetengah daripada kita sama ada lelaki atau perempuan lebih cenderung untuk memilih pasangan yang cantik dan kacak. Paras rupa juga yang menjadi ukuran. Zaman sekarang saya tidak begitu mudah percaya jika seseorang mencintai seseorang kerana agama.

Selain tajuk pasangan beragama yang saya ingin nukil di dalam post kali ini, saya ingin meyentuh mengenai istilah "lelaki soleh digalakkan berkahwin dengan wanita yang tidak solehah manakala wanita yang solehah tidak digalakkan berkahwin dengan lelaki tak soleh". . Saya tidak pasti sama ada kata-kata ini datangnya daripada hadis apatahlagi daripada Al-Quran. kalau tidak silap saya, kata-kata ini datangnya daripada seorang ustaz yang sedang terkenal sekarang ini. Cuma kata-kata ini menimbulkan persoalan di dalam minda saya. Apakah seorang lelaki soleh sanggup atau bersedia memperisterikan seorang wanita yang tidak solehah?Saya memberi satu contoh yang mudah. Apakah seorang mufti mahu melihat anak lelakinya bernikah dengan wanita yang pernah bekerja di kelab malam?Apakah seorang pengawai penguatkuasa agama sedia berkahwin dengan wanita yang pernah menjadi GRO?Saya percaya majoriti lelaki soleh tidak akan sanggup untuk berbuat demikian. Apakah jika sekalipun lelaki soleh itu berkahwin dengan wanita yang tidak solehah maka wanita tersebut akan berubah?mungkin ya dan mungkin tidak. Seorang wanita yang sudah terbiasa mendedahkan aurat dan mengamalkan gaya hidup bebas sudah tentu sukar untuk dia taat kepada suami yang soleh.

Saya tidak melarang sesiapa untuk meletakkan status yang bersifat Islamik di laman sesawang masing-masing.Namun, pada masa yang sama seseorang itu perlu jujur dengan apa yang dia nyatakan. Sudah banyak saya jumpa manusia yang pada awalnya menyatakan pendirian mereka begitu dan begini. tetapi akhirnya mereka sendiri melanggar pendirian mereka. Marilah kita menjadi orang yang berprinsip.

Tiada ulasan: