Khamis, 20 Oktober 2011

KPI untuk MPP UUM


Sebenarnya saya agak teragak-agak untuk menulis mengenai politik kampus di univerisiti saya sekarang. Saya sudah mula bosan dengan politik kampus UUM. Bukan masalah dengan calon sangat tetapi masalah dengan persekitaran dan suasana UUM yang kaku ditambah lagi dengan sikap aktor-aktor politik kampus yang masih menebal sifat tradisional dan konservatifnya..Tetapi ada beberapa desakan daripada beberapa teman agar saya mengulas mengenai tahap prestasi kepimpinan MPP UUM sesi 2011/2012. Apatahlagi, sebagai bekas jentera kempen pilihanraya, saya juga rasa terpanggil untuk membuat penilaian ke atas mereka. Penilaian ini mungkin sesuai dipanggil Key Performance Indicator (KPI). KPI adalah istilah yang digunapakai oleh kerajaan Malaysia sekarang.

Saya mungkin tidak akan mengulas secara spesifik atau menyentuh secara terperinci mana-mana pemimpin siswa UUM tetapi saya memilih untuk mengulas secara umum. Bimbang juga jika saya menyebut nama-mana-mana pemimpin MPP, saya akan dikatakan melakukan serangan peribadi berniat jahat. Anggap sahajalah saya cuba memberi gred markah kepada MPP UUM 2011/2012.

Manifesto kempen

Sebelum pilihanraya kampus lepas, terdapat sesetengah calon MPP berjanji untuk menyelesaikan masalah pelekat kenderaan (sticker), masalah untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU), dan masalah bas. Terdapat juga calon MPP yang berjanji untuk menyelesaikan masalah bayaran yang dikenakan untuk menyimpan beg di stor tepi Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Tetapi selepas memenangi pilihanraya kampus, semuanya seakan senyap seketika. Pada pemerhatian saya, belum nampak penyelesaian secara progresif dalam isu-isu tersebut. Walaubagaimanapun, saya tidak mengharapkan apa-apa penyelesaian drastik dalam isu-isu berbangkit seperti ini kerana saya juga memahami batas gerak kerja MPP selain daripada karenah pentadbiran yang mencerewetkan.

Isu Peribadi

Pernah saya terbaca status seorang pemimpin siswi di lamansesawang Facebook pada semester lepas yang mengatakan bahawa beliau menyesal kerana masuk bertanding pilihanraya. Sudah menang baru menyesal? Agak mengejutkan ayat sebegitu diluahkan oleh orang yang bakal memikul tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa dan mahasiswi. Sepatutnya sebelum masuk bertanding, fikirlah semasak-masaknya dahulu. Kalau perlu boleh solat istikarah. Kini bila sudah menang pilihanraya kampus boleh mengeluh pula. Selain itu, ada juga maklumat yang sampai di telinga saya mengenai hal ehwal peribadi sesetengah pemimpin siswa di universiti saya. Saya pun tidak mahu menyatakan apakah salahlaku peribadi pemimpin MPP tersebut di sini. Namun, saya mengambil pendirian sama ada benar atau tidak maklumat itu, saya tidak akan sama sekali mengaibkan mana-mana individu tetapi sebagai pemimpin, tutur kata dan akhlak perlu dijaga. Walaupun seseorang pemimpin MPP itu dari dulu lagi jenis cakap tidak bertapis atau jenis “terlepas cakap”, namun, tatkala sudah menjadi pemimpin siswa, setiap perilaku dan pemakaian itu harus dijaga supaya orang lain tidak nampak keburukan. Apabila orang lain sudah nampak keburukan itu maka cepat-cepatlah menjadi bualan hodoh orang ramai. Memang nampak seperti hipokrit tetapi itulah realiti politik. Semuanya plastik.

Ada banyak lagi elemen yang mahu saya sentuh tetapi cukuplah sekadar dua sahaja.

Saranan kepada MPP dan bakal MPP

Saranan saya yang pertama, pilihanraya kampus akan datang, jangan ambil mana-mana calon tangkap muat. Sekalipun ada sesetengah siswa mempunyai hubungan darah pentadbiran univeristi tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka masuk bertanding . Padahnya akan berlaku apabila ada pemimpin siswa tersebut tidak tahu apa itu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta akta-akta yang berkaitan. Lagi elok jika mereka mempunyai pengetahuan asas berkaitan sains politik , politik kampus dan politik Malaysia.

Saranan kedua, pemimpin MPP tidak boleh terlalu menjadi eksklusif sebaliknya perlu menjadi inklusif atau keterangkuman. Pemimpin siswa perlu dilihat berhubung dengan kebanyakan siswa, bertanyakan khabar mereka serta cuba mendalami masalah yang mereka hadapi. Saya nampak ada pemimpin MPP yang bersifat elitis. Saya juga hairan macam mana mereka boleh menang sedangkan saya tengok mereka tidaklah banyak bergaul dengan kebanyakan orang sebelum bertanding pilihanraya kampus. Saya juga rasa hairan sistem e-Voting boleh memenangkan mereka.

Saranan ketiga, MPP perlu menjadi pelopor kepada kebebasan siswa. Kebebasan saya maksudkan di sini tidak semestinya kebebasan menyertai parti politik. Kebebasan itu saya sudah bicara pada post yang sudah lepas. Kebebasan yang saya maksudkan di sini ialah kebebasan bersuara, berhimpun serta kebebasan memberi pendapat. Saya tahu ada seorang dua pemimpin MPP UUM yang lantang bersuara tetapi jika hanya dua suara itu masih minoriti. MPP UUM perlu sepakat dalam soal ini.

Kredit untuk MPP

Walaubagaimanapun, saya perlu mengakui ada juga tindakan-tindakan positif yang dilakukan oleh pimpinan MPP UUM. Antaranya, menyelesaikan masalah gugur dan tambah subjek , isu penipuan linguaphone,kesepakatan ke arah pemansuhan E-Voting,isu pembayaran denda siswa terhadap pemakaian kad matrik, dan komitmen ke arah penubuhan parlimen siswa (dengar kata sekarang dipanggil Majlis Perundingan Kepimpinan Siswa (MPKS). Oleh itu, saya harus memberi kredit kepada usaha-usaha pimpinan MPP ini.

Tugas sebagai seorang pemimpin bukanlah mudah. Ramai orang mudah mengkritik dan membangkang berbanding melaksanakan sesuatu tugasan. Saya percaya pimpinan MPP UUM telah cuba sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada mahasiswa. Apa yang saya nyatakan di sini hanyalah niat untuk menegur supaya MPP UUM tidak alpa dan memeriksa apa yang tidak kena. Bahkan di dalam Islam sendiri menyuruh kita saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Jika pimpinan MPP UUM dapat menerima bicara saya ini dengan berlapang dada dan berjiwa besar, Insyaallah, Allah akan menjadikan mereka orang yang lebih hebat pada masa akan datang.

3 ulasan:

BoLong aNak sempoRna berkata...

perli erk..takper2... makaseh...[tak mo kawan muiz dah].....

Abdul Muiz berkata...

ni hy pandangan peribadi..
usah jelek ya bolong
:)

Tanpa Nama berkata...

Diff people have diff point of views
there are no right or wrong opinion
everything is acceptable..

Bg sy...
yerp btol, seorg pemimpin perlu ade ilmu. Tp xsemestinya ilmu sains politik shja, ilmu agama, ilmu psyco n sbginya pun kena ada & x semestinya org yg blaja sains politik blh jd pemimpin yg berwibawa sekiranya xpandai nak apply ape yg dipelajari. Mengenai Fb pulak, depends kat owner dia nk post ape yg dia nak. Myb ape yg dia post xde kaitan lgsg dgn life as mpp. tp ape2 pon depend pd pembaca post tersebut.Sy xpnah pon bce mane2 wall post mpp yg mengatakan dia menyesal utk bertnding. Kirenye dia menyesal, sy rse dah lame dia buat surat letak jawatan..
& satu lagi...
sy pernah terbaca dlm 1 buku menyatakan bahawa RAHSIA kegagalan ialah berusaha utk memuaskan hati semua org. Semua orng ada kelemahan yg perlu diperbaiki, x da yg sempurna di dunia ni.
Akhir kata; Segala kekurangan/kelemahan itu dtgnya dari diri sy sendiri.& Segala yang baik itu dtgnya dr Allah S.W.T.