Khamis, 4 Ogos 2011

Ramadhan : Bulan Tajdid


Ketika saya menulis post terbaru ini kita sudah masuk hari ke-4 berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia tahun ini. Alhamdulillah. Saya dapat menjalani ibadah ini dengan lancar tanpa sebarang permasalahan fizikal. Sesungguhnya ibadah puasa ini memberi kekuatan spritual yang luar biasa kepada mereka yang berkehendakkannya. Bulan ini juga dikatakan oleh Allah dan Rasul bahawa syaitan laknatullah telah dirantai sepanjang Ramadahan.

Perkara utama yang saya ingin bawa kali ini mengenai sikap sesetengah umat Islam di

Malaysia yang hanya bersikap islamis tatkala ketibaan Ramadhan. Sejak saya kecil lagi, saya sudah lama memerhatikan budaya sebegini. Malah, waktu saya kecil dulu pun, saya agak liat untuk bersembahyang terawih. Witir jauh sekali. Saya tidaklah mengatakan saya terlalu alim tetapi kadang-kadang saya agak hairan dengan sikap sesetengah orang yang menunjukkan kewarakan hanya ketika di bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan mereka mula bersikap alim tetapi selepas Ramadhan lain pula jadinya. Alangkah baiknya jika amalan mulia di bulan puasa diteruskan hingga ke bulan seterusnya.

Salah satu contoh, menunaikan solat sunat terawih dan wititr di surau atau masjid.Kebanyakan mereka yang datang bukan main semangat untuk bersolat terawih dengan alasan ingin menambahkan amalan berpahala. Itu sememangnya betul. Tetapi sesudah Ramadhan, mereka semua tidak lagi menjejak kaki ke musolla waima untuk sembahyang sunat sekalipun. Seolah-olah mereka hanya kenal masjid pada solat Jumaat,solat terawih dan solat aidilfitri sahaja. Bulan mulia ini juga kita dituntut meninggalkan perkara mungkar.Apa guna kita berpuasa sampai sehari suntuk tetapi masih melakukan amalan tidak berpahala seperti mengumpat,memfitnah,membuat maksiat dan lain-lain?. Ternyata jika itu terjadi puasa kita tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga semata-mata. Sebenarnya saya kurang selesa dengan sesetengah manusia yang bermuka-muka. Hanya mahu menjadi Islamik pada sesuatu masa sahaja.


Bulan Ramadhan seharusnya menjadi bulan tarbiyah dan bulan tajdid kepada kita. Kita berpuasa bukan sahaja kerana perintah Allah tetapi agar kita menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah. Adapun puasa itu adalah ibadah. Ibadah dan syarat sah dan batal. Kalau puasa kita dapat menahan lapar dan dahaga serta daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari maka kita berjaya berpuasa dari sudut zahir. Dari sudut batin, puasa di bualn Ramadhan adalah untuk mengawal nafsu dan mendidik jiwa agar mengingati Allah S.W.T. Disebabkan itulah kita dilarang melakukan amalan keji dan mungkar kerana perbuatan sebegitu hanya didorong nafsu semata-mata.

Post kali ini tidak ditujukan kepada sesiapa secara khusus tetapi lebih kepada mengingatkan diri saya sendiri. Sebagaimana ikrar saya mula-mula menjadi blogger iaitu tidak mengutuk sesiapa sama ada kawan saya atau tidak. Jika ada pun hanyalah kebetulan. Saya cuma mengkritik mereka yang sudah dikenali masyarakat umum.

Sama-samalah kita memanfaatkan bulan yang mulia ini. Salam Ramadhan.

1 ulasan:

cahye sempurne berkata...

masyaAllah..tapi sukarnye nok istiqamahkan hati ini..