Khamis, 7 April 2011

Mahasiswa dan Politik

Sebelum pilihanraya umum ke-12 pada Mac 2008 Terdapat banyak badan atau persatuan mahasiswa termasuk pensyarah dan pekerja universiti mendesak kepada kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dan BN supaya memansuhkan AUKU 1971. AUKU dikatakan menyekat hak mahasiswa untuk bergiat cergas dalam persatuan termasuklah parti politik.Akhirnya,setelah gagal mendapat majoriti dua pertiga dan terlepas empat buah negeri kepada Pakatan Rakyat (Perak dirampas kembali oleh BN), kerajaan BN mula bercadang untuk mengkaji semula AUKU. Hasilnya dengan majoriti yang mereka ada di Parlimen, AUKU telah dipinda tetapi tidak dimansuhkan. Saya tidak mahu berbicara panjang mengenai isi kandungan terbaru AUKU setelah dipinda tetapi kaitan mahasiswa dengan politik.

Maksud Politik

Sebelum saya berbicara panjang mengenai maksud saya itu adalah lebih baik kita memahami terlebih dahulu definisi dan maksud politik itu. Mungkin ramai yang masih beranggapan bahawa apabila disebut sahaja perkataan politik digambarkan dalam kepala mereka mengenai ahli-ahli politik,parti politik, pilihanraya, kerajaan dan pembangkang. Dahulunya pun saya beranggapan demikian. Sebenarnya anggapan sebegitu tidak salah cuma ia dilihat dalam konteks yang sempit. Politik adalah berasal daripada perkataan Greek iaitu “polis” yang bermaksud bandar atau negara. Di dalam bahasa Latin di sebut sebagai “politikus” dan bahasa Perancis menyebutnya sebagai “politique” manakala di dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “politic”. Terdapat ramai sarjana memberikan pelbagai maksud dan definisi terhadap istilah “politik” ini. Sebagai contoh Harold Laswell mendefinisikan politik sebagai “siapa mendapat apa,bila dan bagaimana?” dan saintis politik Greek seperti Aristotle menyifatkan “manusia secara semulajadinya adalah sebagai haiwan politik”. Banyak lagi versi definisi istilah politik yang saya boleh jelaskan di sini tetapi cukuplah dengan dua definisi sahaja. Mana-mana yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam bolehlah mencarinya di Internet atau perpustakaan. Sejak dari zaman purbakala lagi sudah mula wujud unit politik. Sejak dari zaman ketamadunan manusia lagi sudah ada apa yang dipanggil sebagai institusi politik seperti kerajaan dan pemimpin.

Maksud Berpolitik


Apabila disebut “berpolitik“ ia merupakan kata kerja. Maksud ini juga ramai yang keliru. Makna berpolitik dalam konteks yang lebih luas bukan semata-mata berkempen dalam pilihanraya,berceramah, berdemonstrasi dan lain-lain. Di dalam kehidupan kita seharian juga boleh dikatakan sebenarnya berpolitik. Contoh, apabila rakyat mula mengeluh tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan harga barang runcit, ramai yang tidak berpuas hati dan mengkritik tindakan kerajaan tersebut. Maka perbuatan rakyat itu juga boleh ditakrifkan sebagai berpolitik. Di dalam erti kata yang lebih mudah pada pemahaman saya, politik adalah satu proses yang melibatkan sesebuah kumpulan masyarakat atau masyarakat keseluruhannya berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama. Itulah maksud politik.

Wajarkah Mahasiswa Berpolitik?

Kita sememangnya tidak dapat lari daripada berpolitik. Tetapi di Malaysia, khasnya mahasiswa dan mahasiswi di universiti tidak dibenarkan berpolitik. Kekangan mahasiswa berpolitik dizahirkan di dalam seksyen 15 (1) dan (2) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Apabila keputusan kabinet yang enggan membenarkan mahasiswa berpolitik maka saya merasakan terdapat menteri-menteri kabinet tidak faham istilah politik yang saya takrifkan . Tetapi tahniah kepada Timbalan Menteri pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang masih berpendapat mahasiswa patut diberi peluang berpolitik walaupun ditentang oleh menterinya sendiri. Alasan kerajaan tidak membenarkan mahasiswa berpolitik adalah kerana boleh menjejaskan akademik adalah suatu andaian kurang tepat. Namun begitu, kerajaan masih belum dapat membuktikan mana-mana mahasiswa yang gagal dalam pengajian kerana berpolitik. Sebaliknya, terdapat juga mahasiswa yang gagal dalam akademik adalah kerana hanyut bercinta-cintan, malas dan banyak bermain daripada fokus kepada pengajian. Amat malang jika kerajaan Barisan Nasional (BN) beranggapan bahawa mahasiswa akan terlibat dengan parti politik selain BN jika mereka dibenarkan berpolitik. BN silap besar jika mereka merasakan begitu. Para mahasiswa sama sahaja dengan ahli politik sekarang. Dulu bagai nak rak sokong parti tetapi pada kemudian harinya sudah tukar kiblat politik dengan menyokong parti lain. Begitulah juga dengan mahasiswa. Contoh, dulu ada sebahagian mahasiswa era reformasi 1998 menentang kuat kerajaan BN yang bertindak memecat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO tetapi sekarang ada dalam kalangan mereka yang menentang BN pada ketika itu sudah menjadi ahli sehidup semati UMNO dan BN. Jadi saya fikir pemerintah BN tidak perlu gusar.

Pemerintah sepatutnya memberikan ruang yang secukupnya kepada mahasiswa berpolitik. Di sinilah saya berbeda. Saya setuju mahasiswa berpolitik tetapi saya tidak bersetuju mahasiswa menyertai parti politik. Hal ini kerana parti-politik masing-masing mempunyai kepentingan dan sentiasa ada kekotoran politik. Saya merasakan masih terlalu awal untuk mahasiswa bertempur sebagai ahli politik. Kita juga harus ingat universiti bukanlah tempat untuk melahirkan ahli-ahli politik semata-mata tetapi tempat untuk melahirkan modal insan yang bermutu tinggi. Falsafah ini harus difahami oleh setiap mahasiswa. Saya setuju mahasiswa membicarakan isu-isu politik semasa di dalam lamansesawang sosial atau blog, membaca akhbar-akhbar parti politik serta menjemput mana-mana ahli politik tidak kira daripada parti mana sekalipun untuk berucap dalam majlis anjuran mahasiswa di universiti. Universiti adalah tempat untuk mengembangkan pemikiran dan menajamkan intelektual mahasiswa di samping mengasah bakat dan kemahiran kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

AUKU mungkin relevan pada suatu masa lalu tetapi sekarang akta ini perlu dikaji selaras dengan perkembangan semasa. Saya percaya lambat laun mahasiswa juga akan memahami maksud politik dan berpolitik ini. Inilah yang perlu ditekankan.

Tiada ulasan: