Sabtu, 6 November 2010

Menghitung Nasib selepas Galas dan Batu Sapi


Akhirnya siapa yang mendapat mandat rakyat di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi telah terjawab. Calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohammad. Aziz vmendapat undi sebanyak 5,324 undi dan Zulkefli mendapat 4,134 undi. Undi rosak sebanyak 132. Aziz menang dengan majoriti 1.190 undi.manakala bagi pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 6,359 undi. Linda mengalahkan calon Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga presiden parti tersebut, Datuk Yock Teck Lee dan calon parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah. Linda mendapat undi sebanyak 9.773 berbanding Ansari yang mendapat 3,414 dan Teck Lee sebanyak 2,301.

Kemenangan BN di kedua-dua kersui ini membuatkan saya terfikir sejenak. Adakah kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat kagum dan teruja terhadap Program Transformasi Kerajaan, Program Trnsformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru dan berbagai lagi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN)? Sebelum hari pengundian saya sudah menjangkakan Pakatan Rakyat akan berdepan dengan laluan sukar.Saya tidak merasakan kemenangan di Galas itu milik BN secara keseluruhannya. Ia lebih kepada kemenangan peribadi pengarah pilihanraya BN itu sendiri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah. BN mengerakkan jentera dengan begitu hebat dan agresif sekali. Seluruh menteri kabinet turun berkempen bagi memastikan kemenangan BN.Sudah tentunya janji-janji kebendaan yang ditaburkan oleh BN tidak dapat dielakkan. Projek perumahan rakyat di Galas dan janji untuk memberi wifi kepada seluruh Kelantan merupakan di antara janji-janji utama BN. Disebabkan itulah mungkin orang-orang Asli yang menjadi pengundi di Galas berpihak kepada BN. Walaubagaimanapun, apa yang saya perhatikan BN bersemangat untuk menang di Galas dan Batu Sapi.


Saya tidak begitu fokus kepada pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi. Pakatan Rakyat telah menang kerusi parlimen Sibu sebelum ini tetapi dengan kemenangan BN di Batu Sapai melemahkan semangat Pakatan Rakyat untuk menguasai Sabah dan Sarawak.Saya hairan bagaimana BN boleh mengambil keputusan dengan meletakan balu kepada mendiang ahli parlimen Batu Sapi sebagai calon. Walaupun calon BN Batu Sapi mempunyai jawatan dalam parti komponen BN tetapi apakah tiada calon lain yang boleh dijadikan pertaruhan?.Strategi BN meletakkan Datin Linda menyebabkan dalam kalangan orang awam dan sesetengah pemerhati sebagai nepotisme. Apabila saya melihat portal berita di internet dan di televisyen mengenai kempen BN di Batu Sapi, ternyata kawasan Batu Sapi masih banyak ketinggalan. Mungkin pengundi-pengundi Batu Sapi mahu kawasan mereka dibangunkan dan mungkin itu faktor mereka mengundi BN.Mungkin.



 Bagaimana pula dengan nasib PAS di Galas.Pas menerajui kerajaan negeri Kelantan. PAS sepatutnya lebih mudah ke depan kerana mereka menguasai negeri. Pada anggapan saya faktor kekalahan PAS mungkin kerana tindakan pemimpin PAS Kelantan seperti Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Nik Aziz menghulurkan bantuan kewangan kepada orang-orang Asli. Hal ini telah diekploitasi sebaiknya oleh BN. Bagi pengundi atas pagar melihat bahawa tindakan PAS itu sama sahaja dengan BN iaitu suka mengula-gulakan rakyat atau lebih tepat lagi cuba membeli pengundi dengan wang. Walaupun PAS mendakwa bantuan itu sebenarnya adalah zakat bagi orang Asli yang baru memeluk Islam, tetapi masih sukar diterima pengundi.Pada permulaan kempen, PAS sudah kelihatan tidak bermaya dan bersungguh-sungguh untuk berjuang di Galas seperti PAS sudah tidak mahu menggalas di Galas lagi. Perasaan menyerah kalah terlalu awal inilah menjadi punca PAS kalah.

PAS juga seperti ketandusan pengarah pilihanraya. Mengapa PAS masih menggunakan khidmat veteran seperti Abdul Fatah Harun, Abdul Rahim dan lain-lain lagi?. Sebaik-baiknya Datuk Husam Musa boleh dijadikan sebagai pengarah pilihanraya bersama dengan Datuk Takiyuddin sebagai timbalan. Husam dan Takiyuddin merupakan bakal pemimpin besar PAS pada masa akan datang.Husam yang memang terkenal dengan strategik politiknya mungkin mampu mendapat sokongan pengundi-pengundi muda. PAS tidak boleh menyamakan pemimpin veteran mereka dengan Ku LI. Ku Li mempunyai aura tersendiri apatah lagi apabila beliau bersilat dalam kawasannya sendiri.Jika PAS terus mengekalkan pemimpin lama mungkin nasib PAS lebih buruk seperti yang disangka. PAS sebagai parti Islam perlu berlapang dada atas kekalahan mereka di Galas. Mungkin Allah S.W.T menarik seketika nikmat kemenangan supaya pemimpin dan ahli-ahli PAS kembali insaf dan melakukan hisab dalam perjuangan mereka. Jika PAS berhenti meyalahkan pihak lawan seketika dan mula mencari punca-punca kekalahan, saya percaya PAS akan menjadi parti cemerlang pada masa akan datang. Cita-cita PAS bersama dalam Pakatan Rakyat yang mahu mengambil alih Putrajaya yang ingin dipertahankn bermati-matian oleh Najib, adalah lebih baik PAS melakukan tajdid dalam saf kepimpinan mereka. Pemimpin PAS yang sudah kekeringan idea dan tenaga patut berunudur segera. Muka-muka baru dalam PAS perlu diisi dengan segera di samping mengubah pendekatan politik PAS.

Bagaimana pula dengan nasib PKR di Batu Sapi?Sebelum penamaan calon PKR "berperang" dengan SAPP supaya berkompromi dalam meletakkan calon demi menumbangkan BN. Tetapi SAPP enggan maka PKR terpaksa bertempur dengan BN dan SAPP sekali. Hal ini menyebabkan undi berpecah. Jika SAPP mengambil sikap muafakat dengan PKR, sudah tentu boleh memecahkan undi calon BN. . Calon PKR Ansari Abdullah yang terjatuh dari jeti mungkin menyebabkan calon itu kurang bersemangat untuk berkempen. Pemimpin-pemimpin PKR yang lain juga dilihat kurang agresif berkempen. Sebagai parti baru dalam Pakatan Rakyat, PKR harus menunjukkan kesungguhan bahawa parti mereka lebih baik daripada BN. Tugas PKR bukan sahaja perlu meraih sokongan dari rakyat berbilang kaum tetapi juga menagjar rakyat supaya celik politik. BN  tidak mengajar rakyat mengenai politik. BN cuma mengajar rakyat menjadi "yes man" sejak  50 tahun dulu.Faktor kekalahan PKR di Batu Sapi mungkin disebabkan keghairahan pemilihan PKR yang menyaksikan pertembungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden PKR Cerita mengenai pemilihan kepimpinan PKR tidak mahu dinyatakan di sini.Mungkin lain kali saya akan mengulas mengenainya.

Barisan Nasional (BN) tentu gembira dengan kemenangan di kedua-dua kerusi. Sama-sama kita nantikan BN melaksanakan janji-janji mereka kepada pengundi-pengundi Galas dan Batu Sapi. Tetapi BN terutamanya UMNO tidak boleh terus leka, Ku Li harus diberi peranan yang lebih dan bukan setakat pengarah pilihanraya kecil. Ku Li patut di bawa naik ke dalam pucuk kepimpinan UMNO supaya UMNO bersih daripada segala penyelewengan,rasuah dan salah gunakuasa. Mungkin Ku Li menyambung kembali angan-angan untuk bertanding Presiden UMNO. Tetapi mampukah Ku Li untuk membersihkan UMNO yang sudah sebati dengan amalan yang tidak berpahala itu?.Saya meragui kemampuan Ku Li.

Tetapi perkara yang nyata dapat dilihat dalam dua pilihanraya ini, masing-masing begitu ghiarah membuat provokasi termasuk penyokong-penyokong parti. Amalan politik rimba ini hanya menjejaskan lagi pembangunan negara.Taktik menyerang calon dan memburukkan calon tidak sepatutnya berlaku. Nampaknya kita agak sukar untuk mengubah cara orang-orang politik berpolitik.

Itulah nasib BN, PAS dan PKR. BN gembira kerana menang manakala PAS dan PKR kecewa setelah kecundang dalam dua pilihanraya ini. DAP pula mungkin tumpang simpati dengan rakan-rakan gabungan mereka dalam Pakatan Rakyat.Sejak pilihanraya umum 2008, berlaku banyak pilihanraya kecil. BN dan PR saling bertukar-tukar kemenangan. Tidak dapat dipastikan sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Naional yang akan ke Putrajaya pada masa akan datang. Walau apa pun terjadi, semoga perubahan yang berlaku membawa keberkatan dan kebaikan kepada negara.

Tiada ulasan: