Jumaat, 29 Oktober 2010

Menggalas Beban di Galas

          Calon PAS Dr Zulkefli (kiri) bersalam dengan calon BN Abdul Aziz (kanan) ketika selesai penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Galas- sumber gambar dari blogger


Di dalam kekalutan politik tanah air, terjadi dua pilihan raya kecil lagi di Malaysia. Selepas banyak siri pilihanraya kecil yang berlaku, Malaysia bakal menyaksikan parti-parti politik akan bertempur di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi. Pilihanraya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian Allahyarham Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia pada 27 September yang lalu manakala kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lalu.


Tulisan kali ini saya tidak mahu menyentuh soal pilihanraya kecil Batu Sapi di Sabah. Saya mahu fokus kepada pilihanraya DUN Galas. Pilihanraya kecil DUN Galas ini terletak di dalam kawasan Parlimen Gua Musang. DUN Galas mempunyai seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos. Pecahan peratus pengundi adalah Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus. Disebabkan itu, BN terpaksa bergantung tuah dan pengaruh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dengan melantik beliau sebagai pengarah pilihanraya. Sesuatu yang ganjil apabila tugas pengarah pilihanraya yang biasanya dipegang oleh Timbalan Presiden UMNO diserahkan kepada Ku Li yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang. Jelas bahawa Timbalan Presiden UMNO cuba melarikan diri daripada tanggungjawab kerana sebelum ini tugas sebagai pengarah pilihanraya dipegang oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin. Muhyuddin cuba untuk mengelakkan diri. Jika Galas gagal dirampas UMNO maka beliau tidak akan dipersalahkan. Tetiba sahaja di dalam kenyatan-kenyataan di dalam media UMNO dan BN memuji-muji kehebatan dan ketokohan Ku Li. Sedangkan merekalah yang sebelum ini menghentam dan mencaci Ku Li tatkala beliau menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai Presiden UMNO pada tahun 2008. Pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa tebal muka untuk meminta Ku Li menjadi pengarah pilihanraya termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohammad. 

Secara peribadi, saya agak kecewa apabila Ku Li sanggup mengambil bebanan tanggungjawab ini. Jika beliau merasakan bahawa jika beliau berjaya membantu BN merampas kerusi Galas, peluangnya untuk naik semula di peringkat tinggi dalam UMNO kian cerah, Ku Li sebenarnya silap. Saya menganggap Ku Li sebenarnya telah terperangkap. Jika BN menang di Galas kemungkinan besar pihak UMNO atasan yang menerima sanjungan dan jika kalah, Ku Li yang terpaksa bertanggungjawab. dalam erti kata lain, ada cubaan untuk menjadikan Ku Li sebagai "kambing hitam" dan membunuh karier politiknya. Sebab itulah Muhyuddin tidak menjadi pengarah pilihanraya kali ini. Ku Li perlu melihat kembali kepada sejarah beliau dahulu. Beliau diketepikan sejak dari zaman Mahathir, Abdullah dan sekarang Najib. Beliau seperti Al-Quran buruk dalam UMNO. Sedangkan orang yang berpengalaman seperti Ku Li sepatutnya di manfaatkan.Apakah mungkin selepas ini Najib menjanjikan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana agensi kerajaan kepada Ku Li jika berjaya merampas Galas daripada PAS?sama-sama kita nantikan. Tetiba saya teringat, setakat ini saya belum nampak kelibat Mahathir di Galas, Kelantan. Apakah Mahathir akan menyokong Ku Li?yang itu kita tak tahu.

Jika dilihat daripada situasi pilihanraya di Galas, tahap prestasi kedua dua parti nampak seimbang. Pada pengamatan saya, pertarungan di Galas ini lebih bertumpu kepada dua personaliti iaitu Mursyidul Am PAS Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan Pengarah Pilihanraya BN Tengku Razaleigh Hamzah. Kelihatan seolah-olah Nik Aziz dan Ku Li pula yang menjadi calon DUN Galas. Menurut kenyataan dari seorang blogger yang pergi pada hari penamaan calon, banyak kelihatan poster Nik Aziz dan Ku Li berbanding poster-poster calon yang bertanding. PAS dijangka akan menggunakan isu royalti minyak Kelantan sebagai modal kempen dalam pilihanraya ini. Mungkin PAS akan menggunakan kenyataan Ku Li ketika Ku Li duduk sepentas dengan pemimpin-pemimpin PAS dalam isu royalti pada tempoh hari.Walaupun sudah mengambil tanggungjawab sebagai pengarah pilihanraya, Ku Li tidak berganjak daripada pendiriannya bahawa Kelantan berhak mendapat royalti sebanyak 5 peratus. Ini adalah sesuatu yang unik.Hal ini mungkin boleh memeningkan UMNO atasan.UMNO juga tidak dapat lari daripada tabiat mengula-gulakan rakyat dengan projek-projek mee segera.


Bagaimana pula dengan PAS? PAS awal-awal lagi sudah menyatakan mereka akan turun sebagai underdog. PAS tidak mahu terlalu yakin dengan bersandarkan  keputusan pada piliharaya sebelumnya iaitu dengan majoriti 646 undi. Pada permulaannya,PAS nampak seperti bergerak dengan efisen namun apa yang bakal terjadi seterusnya sama-samalah kita saksikan. PAS mungkin akan terus bergantung kepada “kekeramatan Nik Aziz”. Sama juga dengan UMNO yang bergantung kepada tuah Ku Li. kali ini PAS berdepan dengan tugas berat iaitu melawan pengaruh Ku Li yang sudah lama bertapak di Gua Musang. Rakan komponen mereka PKR dan DAP sudah tentu akan membantu habis-habisan calon PAS yang juga mewakili Pakatan Rakyat (PR). Tatkala PAS sedang berjuang di Galas, PKR pula kian rancak dengan pemilihan partinya. Mungkin PKR juga sedang "berserabut" dalam keadaan ingin membantu parti rakan tetapi dalam waktu yang sama sedang sibuk menyusun organisasi parti sendiri. Mungkin dalam kesempatan itu, Anwar, Azmin, Zaid, Azizah, Mustafa Kamil Ayub tetap turun ke Galas. PAS sebagai parti Islam diharapkan tidak memainkan isu-isu peribadi calon sepertimana dalam pilihan raya kecil sebelum ini.harap-harap tiada lagi fatwa-fatwa baru yang keluar nanti.


Saya tidak mahu meramalkan siapa akan menang di Galas tetapi apa yang lebih penting ialah tanggungjawab calon  yang perlu digalas apabila menang nanti. Jika BN menang di Galas, tiada kesan ketara terhadap kerajaan PAS Kelantan dan Jika PAS menang, ia sekadar mengekalkan status quo.Cuma saya mengharapkan pilihanraya kecil ini berjalan dengan alncar tanpa sebarang provoksai serta mainan  politik kotor. SPR, media massa dan agensi terlibat harus menunjukkan kredibiliti jika mahu wibawa dan integriti mereka dihormati. Agensi-agensi terlibat tidak lagi boleh diperalatkan untuk kepentingan sesetengah pihak.Mereka yang menang harus bekerja dan mereka yang kalah harus berlapang dada. Melalui cara ini, kita akan meninggalkan politik tradisional dan bergerak ke arah politik baru yang lebih dinamik.

Tiada ulasan: