Ahad, 13 September 2009

Bilakah Krisis Politik Perak Bakal Berakhir?




Setelah berjaya mengadakan Sidang Dun Perak di bawah pokok kini wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat bersidang di dalam hotel pula gara-gara pihak polis telah bertindak menghalang mereka daripada memasuki Dewan Undangan Negeri Perak.




Pada pendapat saya, semua YB-YB PR Perak patut menerima takdir yang mereka bukan lagi kerajaan di Perak.Namun begitu,tidak bermakna saya mengakui Dato' Dr Zambry adalah Menteri Besar yang "sah lagi halal". Saya berkata begini kerana sudah tidak ada lagi ruang untuk Pakatan Rakyat untuk mendapatkan keadilan dan kemenangan dalam krisis politik Perak.SPR,polis,mahkamah,SPRM dan termasuk pihak istana Perak sendiri tidak ada satu pun yang membolehkan Pakatan Rakyat mendapat keadilan. Bermula dari episod Adun Bota yang lompat sekejap ke PKR kemudian balik semula ke pangkuan BN dan tiga Adun Pakatan Rakyat yang dikatakan diculik oleh BN. Speaker V.Sivakumar telah menyerahkan surat peletakan jawatan ketiga-tiga adun terbabit kepada SPR yang ditandatangani oleh mereka selepas mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat. Tetapi malangnya SPR bertindak menjadi mahkamah dengan mengatakan surat itu tidak sah dari segi undang-undang. Bagi menyelesaikan kekusutan ini Dato' Seri Nizar Jamaluddin telah menghadap Sultan Perak memohon supaya DUN Perak dibubarkan. Tetapi Sultan Perak yang juga bekas Ketua Hakim Negara bertindak melawan arus. Baginda tidak memberi perkenan kepda Nizar untuk membubarkan DUN sebaliknya menitahkan supaya Nizar meletak jawatan.Walaubagaimanapun Nizar "mohon sembah derhaka" kepada Sultan Perak daripada meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.




Selepas melihat kemenangan bergaya Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang yang mana calonnya adalah Dato' Seri Nizar Jamaluddin menyakinkan saya bahawa rakyat Perak masih menganggap Nizar sebagai MB dan tidak dapat menerima tindakan BN menjadi kerajaan melalui "pintu belakang". Saya rasa rakyat memang tidak merestui penubuhan kerajaan di luar pilihan raya. Buktinya rakyat terus menolak BN dalam sepanjang pilihanraya kecil. Bermula dari Permatang Pauh,Kuala Terengganu,Bukit Gantang,Bukit Selambau,Penanti,Manek Urai dan Permatang Pasir.Dirasakan BN akan terus ditolak rakyat dalam pilihanraya kecil yang terbaru di Bagan Pinang. Kerusi itu adalah kubu kuat BN.Kalau terlepas,bermakna nyawa BN makin tenat.




Walaupun pilihan raya semula tidak dapat diadakan semula adalah lebih baik PR bersabar dalam menghadapi musibah ini.Anggaplah ini sebagai dugaan dalam berpolitik. Anggaplah juga ini sebagai balasan PR begitu beriya-iya mahu mengambil alih tampuk kepimpinan negara dengan melancarkan projek 16 September dengan cara menarik ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berhijrah ke PR. PR begitu ghairah apabila Adun Bota lompat ke PR tetapi melenting dan marah pula apabila Adun-Adun PR yang lompat kepada BN.Ada juga hikmah dalam krisis ini. Hikmah yang dapat dilihat di Perak ialah perpaduan yang erat dalam kalangan pimpinan Pakatan Rakyat antara PAS,PKR dan DAP. PAS tidak menyalahkan PKR dan DAP kerana perbuatan wakil-wakil rakyat mereka yang telah lompat tetapi bersama menyelesaikan konflik. Mereka bersatu menghadapi karenah BN.Malah populariti Nizar melonjak naik. Boleh dikatakan imej Nizar dianggap rakyat Perak sebagai wira dan imej Zambry mungkin tidak sehebat Nizar.




Buat masa ini adalah lebih baik PR menjadi pembangkang yang konstruktif dalam DUN. Jalankan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa, beri tekanan kepada "kerajaan BN Perak" dalam DUN dan susun semula strategi-strategi baru untuk menghadapi BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.Rakyat mungkin akan menjadi muak dengan pelbagai siri yang dilakukan oleh PR Perak. PR juga perlu konsisten dalam soal lompat parti. PR Terengganu juga mesti mengharamkan perbuatan lompat parti meskipun ada desas-desus yang mengatakan 10 Adun BN "Budak Hitam" mahu lompat kepda PKR semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan Menteri Besar Terengganu.Teruskan momentun untuk mendapatkan sokongan rakyat. PR tidak perlu bimbang kerana rakyat akan menghukum mereka dalam pilihanraya akan datang. Mungkin bukan sahaja Perak yang akan terlepas malah Malaysia pun mungkin mereka akan terlepas. PR perlu menunjukan kesediaan sebagai "kerajaan menunggu" malah ada ahli akademik mengatakan bahawa Nizar mempunyai potensi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.




Kepada "kerajaan BN Perak" jalankanlah tugas-tugas anda sebagai permerintah jika anda mendakwa anda mempunyai kuasa untuk mentadbir negeri Perak. Kepada Adun-Adun yang lompat,anda juga perlu merasionalkan dan bertanggungjawab terhadap tindakan anda kerana nama anda akan terpahat dalam sejarah politik Perak lebih-lebih lagi dalam politik sekular yang tidak mementingkan soal dosa dan pahala maka pandai-pandailah YB yang lompat jawab dengan rakyat.

Tiada ulasan: